My Add

Friday 13 April 2012

Wanita lindungi pendatang asing ditahan

MELAKA, KHAMIS, 12 April, 2012: Seorang wanita tempatan yang disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin, adalah antara 107 warga asing yang ditahan dalam Operasi Bersepadu 6P di negeri ini awal hari ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, Kamalludin Ismail, berkata dalam operasi dari 12 tengah malam hingga 5 pagi ini, wanita berusia 30-an terbabit ditemui bersama lima lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 30 dan 40 tahun di sebuah rumah di Jalan Pegaga, Taman Merdeka di sini.

"Ketika serbuan dilakukan, seorang warga Bangladesh itu ditemui di siling rumah dan wanita bersama empat lagi di ruang tamu dan cuba melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, katanya, seramai 107 warga asing terdiri daripada rakyat Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal, Pakistan, Uganda dan Nigeria berusia antara 19 hingga 40 tahun ditahan kerana tidak dapat mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 94 adalah lelaki dan 13 wanita.

Operasi membabitkan 28 pegawai penguatkuasa termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan Jabatan Pendaftaran.

Sementara itu, Kamalludin berkata bagi tempoh Januari lalu sehingga hari ini, seramai 924 orang ditahan dalam 131 operasi Jabatan Imigresen di seluruh negeri ini dan daripada jumlah itu, seramai 131 orang didakwa di mahkamah manakala 50 orang dikenakan denda. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment