My Add

Wednesday 4 July 2012

Anggota Rela disyaki sewakan senjata api

KUANTAN, SELASA, 03 Julai, 2912: Polis menahan seorang anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) kerana disyaki menyewakan pistol miliknya dengan bayaran RM500.

Suspek berusia 48 tahun itu ditahan ketika dipercayai sedang menunggu seseorang di tepi jalan dekat Taman Gambang Damai di sini pada pukul 10.45 malam tadi.

Polis turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver dan enam butir peluru terselit di pinggang lelaki terbabit, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC T. Narenasagaran kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menyerbu rumah lelaki terbabit tidak jauh dari tempat dia ditahan dan hasil pemeriksaan, polis menemui 10 lagi peluru pistol berkenaan dan sepucuk senapang patah bersama 30 butir peluru selain sebuah komputer riba. 

"Senapang patah itu mempunyai lesen senjata api yang sah milik Rela manakala pistol yang disewakan itu dipercayai dibeli dari seorang kenalannya dari Thailand beberapa bulan lepas dengan harga RM500," katanya.

Beliau berkata polis percaya pistol yang disewakan suspek itu telah digunakan dalam beberapa kes samun bersenjata di sekitar Kuantan. 

Siasatan awal mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan menjalankan aktiviti menyewakan pistol itu sejak dua bulan lepas, katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment