My Add

Thursday 5 July 2012

BERNAMA nafi keluar berita bonus Hari Raya

KUALA LUMPUR, RABU, 04 Julai, 2012: BERNAMA tidak mengeluarkan berita yang melaporkan kononnya kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada semua penjawat awam untuk sambutan Hari Raya Puasa tahun ini, kata Ketua Pengarangnya, Datuk Yong Soo Heong. 

Berita palsu itu disiarkan Isnin lalu dalam sebilangan akaun Facebook selepas mereka yang tidak bertanggungjawab itu menampalkannya pada satu halaman portal berita "myMetro", untuk membuatkannya kelihatan sahih. "Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh pengguna siber yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu.

"Sementara BERNAMA sentiasa bersyukur apabila semua berita kami diakui dan diiktiraf, tapi ianya bukan sesuatu yang lucu apabila nama kami disalahguna," katanya.

Yong berkata, satu laporan polis akan dibuat hari ini.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapha Omar, ketika dihubungi berkata pihaknya tidak ada menyiarkan sebarang berita baru-baru ini mengenai kononnya kakitangan perkhidmatan awam akan mendapat bonus.

"Sekiranya ada mana-mana individu atau pihak mengedar laporan tersebut dalam internet seolah-olah datang dari portal berita Harian Metro, ianya adalah berita palsu dan dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment