My Add

Sunday 15 July 2012

Etnik Rohingya alami kebuluran

YANGON, SABTU, 14 Julai, 2012: Etnik Rohingya beragama Islam yang kini berlindung di kem-kem pelarian di negara ini, dibimbangi berdepan krisis kebuluran sehingga memaksa mereka meninggalkan Myanmar.

Kebimbangan tersebut disuarakan kumpulan-kumpulan bantuan kemanusiaan selepas pihak tersebut menyatakan, bekalan bantuan sukar dibawa masuk ke kawasan berlakunya konflik agama dan etnik.

Akhbar The Guardian melaporkan, keadaan itu berlaku sejak awal Jun lalu ketika tindakan disifatkan sebagai penderaan pihak berkuasa Myanmar terhadap etnik Rohingya berterusan.

Kumpulan terbabit turut memberi amaran, bencana kemanusiaan juga boleh berlaku ketika pihak berkuasa di barat Myanmar cuba memisahkan berpuluh-puluh ribu etnik Rohingya di kem-kem yang disifatkan oleh seorang pekerja bantuan sebagai 'penjara terbuka'.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menyatakan, 10 pekerjanya termasuk lima kakitangan PBB di Rakhine, ditangkap.

Sebahagian daripada mereka yang ditangkap telah didakwa, tetapi maklumat terperinci mengenai tuduhan yang dikenakan masih tidak jelas.

Kadar kekurangan makanan di kalangan etnik Rohingya dan penduduk Rakhine, dikatakan sangat membimbangkan sejak bermulanya konflik tersebut ekoran pendekatan darurat yang dilaksanakan pada awal Jun lalu.

Majoriti pekerja bantuan yang membantu etnik Rohingya di Rakhine pula telah dipindahkan atau dipaksa keluar dari kawasan itu sejak beberapa minggu lalu.

Wakil kumpulan bantuan, Action Against Hunger, Tarik Kader berkata, pihaknya bimbang kadar malnutrisi akan meningkat dengan mendadak jika akses bantuan kemanusiaan dengan jaminan keselamatan tidak diberikan dalam tempoh terdekat ini. - AGENSI

No comments:

Post a Comment