My Add

Saturday 28 July 2012

Hasrat mahu jalan pintas jadi kenyataan

PUTRAJAYA, SABTU, 28 Julai, 2012: Hasrat penduduk setempat supaya dibina jalan pintas bagi memendekkan jarak perjalanan bakal menjadi kenyataan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan majlis pecah tanah jalan Kampung Merbau Kudung FELDA Telui Timur-Jalan Merbau Kudung di Kedah, esok. 

Pengarah Seranta FELDA, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noorehsanuddin Mohd Harun Narrashid, berkata pembinaan jalan raya sepanjang 8.7 kilometer itu bernilai kira-kira RM25 juta dan terletak antara FELDA Telui Timur ke Kampung Merbau Kudung di Batu 5, Sik. 

"Jalan itu memang sudah lama orang kampung nak. Ia akan memendekkan jarak perjalanan lebih 30 minit. Sebelum ini penduduk kena pusing jauh. Jadi jalan pintas ini penting untuk kemudahan penduduk," katanya di sini. 

Beliau berkata, pembinaan jalan itu juga akan merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan nilai tanah di beberapa kampung di sekitarnya.

"Kedatangan Perdana Menteri ini benar-benar menepati janji yang beliau buat. Ini bermakna kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang tidak bercakap kosong. Buktinya ada majlis pecah tanah ini," katanya.

Noorehsanuddin berkata, pada majlis berkenaan, Perdana Menteri akan diberi taklimat mengenai projek itu oleh Pengarah Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya, Datuk Baharuddin Che Zain.

Dalam lawatan kerja sehari itu, Perdana Menteri juga akan ke Kampung Telui Timur, Jalan Bandar Hilir, Sik untuk mengunjungi rumah seorang daripada penerima skim bantuan Program Kampung Sejahtera Inspirasi FELDA (Kasih FELDA) iaitu program untuk membaik pulih rumah yang berjiran dengan kawasan FELDA. 

Dianggarkan 1,000 pemilik rumah di kawasan sekitarnya akan menerima bantuan itu, katanya.

Program Kasih FELDA membabitkan kawasan kampung lama dan tradisional yang terletak berhampiran 317 tanah rancangan FELDA di seluruh negara.

Di bawah program itu, setiap keluarga yang layak akan menerima RM5,000 bagi membaik pulih rumah masing-masing.

“Perdana Menteri juga akan merasmikan program Rahmat Ramadan peringkat kebangsaan di Padang Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya di Sik yang dijangka dihadiri 12,000 penduduk FELDA dan luar FELDA.

"Program ini kita buat setiap tahun untuk memberi bantuan kepada yang memerlukan sama ada untuk penduduk FELDA atau kawasan kampung berdekatan untuk mengimarahkan bulan Ramadan. Uniknya kita buat pertama kali di luar kawasan tanah rancangan," katanya.

Beliau berkata, pada majlis itu, Najib akan mengumumkan pemberian 'duit raya' untuk peneroka FELDA di seluruh negara, selain menyampaikan durian runtuh fasa kedua kepada penerokawati sebanyak RM5,000 setiap seorang di negeri itu.

"Ini pun satu lagi bukti FELDA ada kewangan yang kukuh. Sebab itu kita bagi bonus, durian runtuh dan sebagainya. Tidak seperti yang orang kata FELDA bankrap. Itu tidak benar," katanya.

Noorehsanuddin berkata, kejayaan FELDA selepas 56 tahun bertapak di negara ini hasil keadaan politik yang stabil serta dasar tidak berubah-ubah dan sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa.

"Ini menunjukkan satu terjemahan bahawa FELDA ini adalah satu dasar kerajaan yang dilaksanakan secara istiqamah, berterusan, diperbaiki dari semasa ke semasa dan ini juga bukti bahawa walaupun kita buat dalam masa yang panjang kita akan berjaya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment