My Add

Saturday, 28 July 2012

Pelarian Palestin pilih Malaysia sebagai tempat perlindungan

KUALA LUMPUR, SABTU, 28 Julai, 2012: Lebih 3,000 rakyat Palestin yang terpaksa meninggalkan tanah air susulan kekejaman rejim zionis Israel memilih Malaysia sebagai negara yang paling baik untuk mereka mendapatkan perlindungan sementara kerana yakin dengan keamanan dan kestabilan politik di negara ini. 

Pengerusi Palestinian Cultural Organisation Malaysia (PCOM), Muslim Abu Umar, berkata Malaysia menjadi pilihan kerana tidak banyak negara Islam yang stabil tetapi Malaysia membuktikan sebaliknya apabila keamanan negara ini sangat terjamin. 

"Walaupun ada di kalangan mereka yang sudah berhijrah ke Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada tetapi ramai yang mahu menetap di Malaysia kerana keamanan dan kestabilan yang sedang dinikmati oleh negara," katanya di sini, hari ini. 

Muslim berkata, rakyat Palestin yang berusia 25 tahun serta empat lagi petugas PCOM sendiri tidak mungkin dapat pulang ke negara mereka untuk satu tempoh yang lama, kecuali keputusan muktamad dibuat oleh masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin. 

Katanya, pelarian Palestin kali terakhir memasuki Malaysia pada 2006 apabila 92 individu termasuk kanak-kanak kecil melarikan diri dari Iraq selepas negara Arab itu ditakluki tentera Amerika Syarikat dan keamanan semakin tergugat di sana. 

"Kami (PCOM) memerlukan bantuan untuk membantu nasib 92 rakyat Palestin yang ditimpa malang itu. Mereka dahulunya lari dari kawasan Haifa (Palestin) yang ditakluki Israel untuk ke Tebing Barat pada tahun 1948. Bahang peperangan kemudian tiba ke Tebing Barat dan memaksa mereka pergi berlindung di Iraq, Iraq pula dilanda perang dan mereka kemudian berhijrah ke Malaysia. 

“Kebanyakan pelarian di bawah status Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) ini tidak dibenarkan bekerja dan ini sangat menyusahkan mereka,” katanya. 

Beliau berkata, ada juga rakyat Palestin yang mendapat perlindungan di negara ini tidak mempunyai dokumen yang membolehkan mereka bekerja. 

"Kerajaan Malaysia dan rakyat sebenarnya banyak membantu kami... yang sakit hanya dikenakan bayaran yang rendah di hospital kerajaan dan ada rakyat yang menawarkan sewa pangsapuri atau bilik yang sangat berpatutan kepada pelarian Palestin yang majoritinya tinggal di Ampang dan Pulau Pinang," katanya. 

Namun begitu, Muslim berkata, cuma ada beberapa isu walaupun kecil tetapi sebenarnya adalah dilema yang panjang iaitu kos yang terpaksa ditanggung untuk anak Palestin menyambung pelajaran di sekolah serta golongan tua yang berpenyakit dan terpaksa menerima rawatan khas termasuk pembedahan. 

Keadaan bertambah sukar kerana Palestin terbahagi kepada dua puak utama iaitu Hamas dan Fatah, Hamas yang menang pilihan raya di Palestin tahun 2006 tidak diiktiraf sebagai pemerintah sah negara itu dan dunia antarabangsa masih mahu Fatah memerintah. 

Katanya, kedua-dua pihak sedang dalam percubaan untuk bekerjasama dalam menyelesaikan banyak isu Palestin di luar negara. 

Muslim berkata, oleh kerana tidak diiktiraf, Hamas tidak dibenarkan membuka kedutaan dan kumpulan itu dengan kebenaran kerajaan Malaysia menubuhkan PCOM yang sebenarnya bertindak sebagai kedutaan tidak rasmi Hamas yang hari ini terus berkuasa dan mendapat sokongan rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza. 

"Peranan yang dimainkan oleh PCOM bukan sekadar sebuah pertubuhan kebudayaan. Kami berusaha keras untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah pelarian Palestin di negara ini melalui pendekatan dan rayuan kepada badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, parti politik dan bermacam pihak," katanya. 

Beliau berkata, orang ramai atau NGO yang mahu menghulurkan bantuan kepada pelarian Palestin di Malaysia, boleh menghubungi PCOM di laman www.pcomalaysia.org atau di facebook.com/pcom1. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment