My Add

Thursday 26 July 2012

Peluang cerah BN menang PRU-13

*MOHAMED Mustafa Ishak (tiga dari kiri) Syed Arabi Aidid (kiri) Rohana Yusof, Zakri Abdul Hamid (tiga dari kanan), T. Selvakumar dan Fuad Mohd. Jali berbincang secara ringkas selepas Sesi Roundtable Discussion 'PRU13: Malaysia Pilih Siapa? di Kuala Lumpur, semalam.

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan HUSSAINI AMRAN 
KUALA LUMPUR, RABU, 25 Julai, 2012: Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 termasuk menawan semula Selangor dan Kedah yang dikuasai pembangkang.

Pengerusi Pusat Kajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Fuad Mohd. Jali berkata, kesimpulan itu dibuat menerusi hasil kajian terhadap 1,400 responden di sekitar Kedah dan Selangor pada Mac dan April lalu.

Menurut beliau, pengundi di Selangor lebih memihak kepada BN manakala sokongan pengundi di Kedah terbahagi sama rata antara BN dan pembangkang.

''Secara keseluruhannya, sebanyak 69.6 peratus responden menyatakan BN akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan 37.5 peratus yakin BN akan memperoleh majoriti dua pertiga dan 32.1 peratus berpandangan BN mendapat majoriti mudah.

''Di peringkat Parlimen pula, 57 peratus responden menyatakan akan memilih BN dan 54.1 peratus responden memilih BN di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajiannya dalam sesi bertajuk 'Prestasi dan Potensi BN di Empat Negeri: Siapa Jadi Pilihan?' pada Perbincangan Meja Bulat bertema 'PRU13: Malaysia Pilih Siapa?' anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara di sini hari ini.

Selain Fuad, ahli-ahli panel sesi tersebut ialah bekas Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Aidid dan Pengarah Koridor Utara UUM, Prof. Madya Dr. Rohana Yusof manakala Ketua Pengarang Berita The Star, T. Selvakumar bertindak sebagai moderator.

Selain itu, tambah Fuad, kajian sama mendapati 76 peratus rakyat berpandangan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah lebih baik berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kata beliau, secara purata 87.4 peratus daripada rakyat yang dikategorikan dalam kumpulan umur layak mengundi menyokong Najib dan Perdana Menteri juga mendapat sokongan daripada 75 peratus kaum Melayu, 69.6 peratus kaum Cina, 71 peratus kaum India, 85.5 peratus kaum Iban dan 84 peratus kaum bumiputera di Sarawak.

''Keyakinan yang tinggi terhadap kepimpinan Najib yang menerajui BN adalah berpunca daripada pelbagai transformasi bersifat populis dan praktikal yang berupaya menarik sokongan semua golongan.

''Antaranya pendekatan yang digunakan ialah media sosial seperti Facebook dan Twitter, konsep 1Malaysia, transformasi politik, petunjuk prestasi utama (KPI), Model Baru Ekonomi (MBE), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Skim Rumah Pertamaku dan program pembangunan luar bandar," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, kata Fuad, kajian sama menunjukkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencatatkan prestasi tercorot dalam kalangan tokoh kepimpinan negeri.

Sementara itu, Rohana ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Perbandingan Prestasi dan Potensi BN Vs Pas di Negeri Kedah' memberitahu, kira-kira 54 peratus rakyat Kedah menolak kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Pas.

''Ini dapat ditafsirkan menerusi pandangan mereka yang menyatakan kegagalan kerajaan Pas Kedah menunaikan janji-janji yang dibuat pada PIlihan Raya Umum Ke-12. Mereka juga berpandangan Pas kecundang dengan konsep negara berkebajikan yang dijajanya," ujarnya.

Jelas beliau, kajian tersebut turut mendapati UMNO dan BN mempunyai kelebihan untuk merampas Kedah dari tangan Pas dan sekiranya senario itu berlaku, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menjadi pilihan rakyat sebagai Menteri Besar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment