My Add

Wednesday 25 July 2012

PEMANDU cadang inisiatif baru NKRA

KUALA LUMPUR, SELASA, 24 Julai, 2012: Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) mencadangkan beberapa inisiatif baru yang akan dilaksanakan dalam pelan hala tuju kedua Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, inisiatif baru yang dicadangkan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) itu membabitkan usaha mengurangkan jenayah, memerangi rasuah dan meningkatkan taraf ekonomi luar bandar.

Menurut beliau, di bawah NKRA mengurangkan jenayah, inisiatif baru MyDistress iaitu sistem semakan dalam talian akan diperkenalkan.

Sistem itu membolehkan orang ramai memeriksa status laporan polis secara telus dan terbuka, memutihkan kawasan jenayah serta meningkatkan kumpulan penguatkuasaan di seluruh negara bagi menangani kejadian pecah rumah.

"Kita akan melaksanakan pelbagai pendekatan yang menimbulkan kebimbangan orang ramai iaitu mengurangkan peluang untuk berlaku jenayah dan meningkatkan usaha-usaha penangkapan, penahanan dan dakwaan jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat mengenai cadangan pelan hala tuju fasa kedua GTP sempena hari terbuka Pemandu di sini hari ini.

Majlis taklimat itu turut disertai oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.

Hari terbuka yang berlangsung tersebut turut menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meluangkan masa lebih sejam untuk melihat makmal-makmal yang dipamerkan kepada orang ramai.

Hari terbuka itu akan diteruskan di Kuching dan Kota Kinabalu pada bulan depan dan orang ramai berpeluang memberikan maklum balas mengenai pelan hala tuju tersebut.

Idris berkata, di bawah NKRA menangani rasuah, inisiatif diwujudkan untuk mengukuhkan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengekang rasuah selain melaksanakan pendekatan lebih tegas dalam pemerolehan kontrak-kontrak kerajaan.

Tambahnya, selari dengan aspirasi Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada 2020, pelan hala tuju fasa kedua GTP itu akan memperkenalkan Program Kampung Abad Ke-21 (21CV).

Idris menjelaskan, Program 21CV yang merupakan sebahagian daripada NKRA pembangunan luar bandar akan meningkatkan ekonomi kawasan itu melalui pembangunan ladang-ladang pertanian moden dalam skala besar.

Selain itu, katanya, program tersebut juga akan menambah dan membaik pulih kampung-kampung pelancongan agro, meningkatkan pengeluaran minyak sawit, getah dan peladangan sagu serta memperkukuhkan industri desa bagi pengeluaran hasil kraf tangan dan makanan di kampung-kampung. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment