My Add

Wednesday 25 July 2012

Pembalakan: Kerajaan Kedah diminta henti berdolak-dalik

ALOR SETAR, RABU, 25 Julai, 2012: Kerajaan Kedah diminta berhenti daripada terus berdolak-dalik mengenai kesan pembersihan hutan di Gunung Inas yang menjejaskan sumber air penduduk di kawasan sekitar. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah juga meminta kerajaan negeri pimpinan PAS itu berhenti berselindung di sebalik ladang rakyat. 

"Kalau Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kata nak buang pokok yang tua saja ia tidak masuk akal kerana untuk buat ladang rakyat kena tebang 100 peratus pokok yang ada di kawasan itu," katanya selepas majlis berbuka puasa, di sini, malam tadi. 

Mengulas lanjut, Ahmad Bashah berkata, akibat pembersihan kawasan seluas lapan hektar itu, penduduk di daerah Sik dan Baling kini berdepan masalah bekalan air bersih. 

Minggu lalu, JAS mengeluarkan arahan supaya kerja pembalakan di kawasan hutan itu dihentikan bagi membolehkan jabatan tersebut membuat penilaian mengenai kesan ke atas alam sekitar. 

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata, tindakan Azizan menjual semula semua saham FELDA Global Ventures Holding adalah satu kerugian besar kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan tindakan yang tidak bijak. 

"Sebenarnya semua perbadanan kemajuan negeri diberi peluang oleh kerajaan untuk memiliki saham-saham yang dianggarkan boleh menguntungkan mereka dan sebab itu PKNK boleh beli saham itu dengan jumlah yang begitu besar. 

"Saya juga hairan kenapa beliau (Azizan) kata tidak tahu dan tak dimaklum tentang pembelian saham itu sedangkan cek yang melebihi RM2 juta perlu ditandatangani oleh Pengerusi PKNK dan beliau sendiri adalah pengerusi tersebut," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment