My Add

Thursday 5 July 2012

Penyelewengan: BN Selangor akan lapor kepada SPRM

*MOHD. Zin Mohamed (tengah) ketika sidang media mengenai isu urusan penyelesaian hutang Talam Corporation Berhad (Talam) di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, semalam. - BERNAMA

SHAH ALAM, RABU, 04 Julai, 2012: Barisan Nasional (BN) Selangor akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan penyelewengan bernilai RM1 bilion oleh kerajaan negeri Selangor dalam urusan penyelesaian hutang sebuah syarikat senaraian awam.

Setiausaha BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata pihaknya bersedia membuat laporan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial polis dalam masa terdekat berhubung perkara sama jika difikirkan perlu. "Kita punya penyelidik sedang mengkaji maklumat tentang perkara ini mengenai penyelesaian hutang itu.

"Terdapat banyak transaksi yang diragui dan boleh dipersoal bagaimana kerajaan negeri membelanjakan wang besar membeli hutang syarikat itu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini. 

Mohd Zin yang juga Penyelaras BN Selangor bersedia untuk menghadapi sebarang tindakan saman oleh Kerajaan Selangor berhubung pendedahan mengenai urusan penyelesaian hutang syarikat senaraian awam itu yang berjumlah RM392 juta. 

Katanya, kerajaan negeri berhak mengambil apa jua tindakan yang dirasakan perlu, begitu juga dengan BN yang mempunyai tanggungjawab menerangkan sesuatu isu kepada rakyat. 

"Beliau (Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dijemput dan dialu-alukan atas apa jua yang beliau hendak buat. Beliau mempunyai tugas untuk dibuat dan kami juga bertanggungjawab untuk menegakkan (kebenaran) di sini. Jangan takutkan kami tentang isu ini," katanya.

Mohd Zin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Khalid hari ini berhubung tindakan kerajaan negeri yang memutuskan untuk menyaman MCA atau mana-mana pihak yang membuat tuduhan berhubung isu yang mendakwa penyelewengan bernilai RM1 bilion oleh kerajaan negeri ini. 

Semalam, Pemuda MCA meminta kerajaan negeri Selangor mendedahkan butiran berkaitan dengan langkah dan urusan mengutip semula hutang membabitkan lebih RM1 bilion dengan sebuah syarikat senaraian awam. 

Memberikan latar belakang kes itu pada satu sidang akhbar, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong, berkata pada 2009, Dewan Undangan Negeri Selangor meluluskan RM392 juta kepada Menteri Besar Incorporated untuk membeli hutang syarikat itu yang terhutang dengan kerajaan negeri. 

Beliau berkata, RM277 juta adalah hutang kepada Permodalan Negeri Selangor Bhd dan Universiti Industri Selangor (UNISEL) tetapi UNISEL langsung tidak menerima wang itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment