My Add

Monday 2 July 2012

Peranan UDA semakin kritikal

AHAS,01 Julai, 2012:
UDA Holdings Berhad ditubuhkan sebagai sebuah perbadanan melalui Akta 46 Pembangunan Bandar pada 12 November 1971 oleh Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Antara matlamat penubuhan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) ialah membantu masyarakat Bumiputera mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kegiatan perdagangan dan perusahaan di semua peringkat dalam tempoh kira-kira 20 tahun. Wawasan itu terkandung dalam amanat beliau ketika majlis perasmian UDA.

Selepas 20 tahun ternyata UDA berjaya melahirkan usahawan Bumiputera yang menjadi perintis pembangunan di bandar, membuktikan ia komited dalam usahanya memartabatkan usahawan serta masyarakat Bumiputera dengan mewujudkan platform untuk mereka berniaga di kawasan bandar utama negara.

Penubuhan UDA Mall Sdn. Bhd. membolehkan lebih ramai usahawan Bumiputera mendapat peluang berniaga di premis-premisnya di tengah-tengah bandar, sekali gus bersaing dengan kaum-kaum lain.

Bukit Bintang Plaza, Kompleks Pertama, Hentian Puduraya, Cahaya Suria, Kompleks UO Jalan Tun H.S. Lee, Plaza Warisan, Kompleks UO Jalan Raja Bot, Sinar Kota di Kuala Lumpur, Plaza Angsana di Johor Bahru, Greentown Mall di Ipoh dan juga Plaza Ampangan di Negeri Sembilan merupakan premis perniagaan popular yang ‘memayungi’ usahawan Bumiputera sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun, jumlah premis itu kini berkurangan apabila Plaza Warisan dirobohkan bagi memberi laluan kepada stesen MRT. Dan, tidak lama lagi Bukit Bintang Plaza juga menerima nasib yang sama.

Jika cadangan merobohkan Bukit Bintang Plaza dilaksanakan juga, ia bermakna lebih 200 peniaga Bumiputera akan kehilangan pendapatan. Mereka mungkin boleh berniaga di tempat lain tetapi bukan di tengah-tengah bandar yang mana menjanjikan pulangan lebih baik.

Justeru tidak hairanlah mengapa para peniaga terbabit membantah cadangan Kementerian Kewangan itu. Bantahan tersebut dibuat kerana mereka bakal kehilangan pendapatan selain mengalami kerugian.

Bantahan itu juga mengambil kira jumlah premis perniagaan yang boleh disewa oleh peniaga Melayu di tengah-tengah bandar semakin berkurangan.

Seorang peniaga yang sudah menyewa selama lebih 15 tahun di Bukit Bintang Plaza mahu Kementerian Kewangan menjelaskan mengapa Bukit Bintang Plaza menjadi sandaran untuk pembinaan projek MRT sedangkan banyak kawasan lain di sekitar Bukit Bintang boleh diambil.

Malah, beliau yang enggan namanya disiarkan turut menyifatkan tindakan merobohkan Bukit Bintang Plaza yang menjadi nadi peniaga kecil Melayu sebagai tidak adil dan mengelirukan.

Tidak adil kerana keistimewaan dan peruntukan Bumiputera melalui UDA tidak dilaksanakan dengan sempurna. Apatah lagi lokasi perniagaan untuk peniaga kecil Bumiputera semakin berkurangan dari sehari ke sehari.

Jangan cakap hendak berniaga di KLCC milik Petronas, di Pavilion, Ferenheit, Sungei Wang Plaza dan Lot 10 pun masih belum mampu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment