My Add

Friday 27 July 2012

Pegawai Perhutanan dipenjara 24 bulan, denda RM100,000

SIBU, JUMAAT, 27 Julai, 2012: Pegawai Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dipenjara 24 bulan dan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah hari ini selepas didapati bersalah menerima rasuah RM20,000, tahun lalu. 

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hakim turut memerintahkan Joseph anak Selanjat, 52, yang juga ketua Unit Keselamatan dan Perlindungan Aset SFC, dipenjara 24 bulan lagi jika gagal membayar denda tersebut. 

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. 

Tertuduh didakwa menerima suapan itu daripada Rommy Ma'aruf, supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya yang didakwa mengangkut 200 tan kayu balak secara haram dari Kapit ke Sibu, kesalahan mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak. 

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di sini pada jam 10.35 pagi, 21 Januari tahun lalu. 

Tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Law Chin How manakala Joseph diwakili peguam Augustine Liom. 

Sementara itu di mahkamah sama, Cif Inspektor Mohd Faizal Nawi dan Lans Koperal Zainal Mohammad Yunus mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah RM55,500 daripada Walter Wong Hai Ing. 

Suapan itu sebagai sogokan supaya mereka tidak mengambil tindakan terhadap Wong yang didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. 

Mereka didakwa bertemu Wong di tiga tempat yang berlainan iaitu pada 15 Januari 2009 menerima RM30,000, pada 30 Januari 2009 (RM15,500) dan 18 Mac 2009 (RM10,000). 

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi. 

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Oktober hingga 7 Disember depan untuk perbicaraan. 

Mereka diwakili peguam Shankar Ram. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment