My Add

Sunday 1 July 2012

* ‘Saya pilih Pas kerana perjuangan sandarkan al-Quran, Sunnah’


Hairie (kiri) menyerahkan borang menyertai Pas kepada Nik Aziz. 

AZLINA OTHMAN
JOHOR BAHRU, SABTU, 30 Jun, 2012: Perjuangan Pas yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah adalah faktor utama yang mendorong hero filem Leftenan Adnan, Hairie Othman, 41, mengambil keputusan untuk menyertai parti itu.

Walaupun mengakui tindakan yang diambil itu berisiko dengan kemungkinan berhadapan ketandusan tawaran berlakon pada masa akan datang, Hairie redha dan menganggap keputusan itu tepat.

“Apabila saya memilih untuk bersama Pas, ramai rakan artis bertanya kenapa saya mengambil keputusan ini kerana mereka menganggap saya tidak akan mendapat tawaran berlakon lagi.

“Mereka tanya apa yang saya mahu buat selepas ini. Saya beritahu mereka saya akan keluar berceramah dan saya yakin rezeki ALLAH ada di mana-mana. Saya percaya dan yakin dengan perjuangan berlandaskan Islam adalah benar," katanya yang mengakui keputusan tersebut bukan atas paksaan mana-mana pihak.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Tahlil dan Munajat di Dataran Dahlia, Taman Dahlia di sini, malam tadi.

Hadir sama, Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; dua Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub dan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Pada program berkenaan Hairie turut menyerahkan borang keahliannya kepada Nik Aziz sambil diperhatikan kira-kira 5,000 pengunjung yang hadir sekali.

Hairie yang sudah bergiat dalam dunia lakonan lebih 20 tahun berkata, penyertaannya dalam Pas bukan bermaksud dia sudah tidak lagi menerima tawaran berlakon seperti dahulu, malah akuinya, dia kini lebih popular.

“Ada yang dakwa saya sudah jadi pelakon suam-suam kuku, sebab itu saya pilih Pas. Namun, saya begitu terharu dengan kehadiran ramai orang pada malam ini. Saya rasa jadi 'lebih artis' berbanding sebelum ini,” katanya.

Hairie berkata, jadual hariannya kini juga padat sejak minggu lalu bagi memenuhi undangan bersama Pas di merata-rata tempat.

“Kali pertama bertemu Tok Guru, beliau bertanya sebab apa saya mahu masuk Pas. Saya jawab saya ingin berubah. Saya pilih Pas, tiada niat apa-apa.

“Saya hanyalah penyokong kepada perjuangan yang berlandaskan Islam dan bukan bersifat perkauman atau bangsa," katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment