My Add

Sunday 1 July 2012

Sokongan belia Cina kepada BN meningkat

KEMAMAN, SABTU, 30 Jun, 2012: Sokongan belia berbangsa Cina terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) kini meningkat lebih 50 peratus berbanding ketika pilihan raya umum yang lalu, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata peningkatan sokongan belia Cina ini dapat dilihat melalui sokongan kumpulan itu terhadap penganjuran program belia yang diadakan besar-besaran, misalnya Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya pada Mei lalu.

"Pada tahun 2008 memang terdapat sedikit kemerosotan dari segi sokongan dengan melibatkan beberapa sentimen yang tidak berpihak kepada kita.

"Namun, kita yakin perubahan yang berlaku ketika ini disebabkan golongan belia Cina ini sudah dapat memahami isu sebenar yang berlaku dalam landskap politik negara," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 200 penerima kaum Cina dari Parlimen Kemaman di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata masyarakat Cina di negara ini seharusnya menghargai keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mereka tanpa mengambil kira sempadan budaya dan agama.

Sebagai contoh, katanya pembinaan Dewan Komuniti Tionghua Kemaman di Kampung Bukit Mak Dayang yang melibatkan kos RM3.8 juta membuktikan kerajaan sentiasa berusaha menyediakan kemudahan kepada mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment