My Add

Saturday, 14 July 2012

Kerajaan Selangor perlu pragmatik, lebih praktikal atasi isu air

*MUHYIDDIN ketika berucap pada majlis penutupan Dialog Nasional Pendidikan Negara di sini, hari ini.

JOHOR BAHRU, SABTU, 14 Julai, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kerajaan Selangor agar lebih praktikal dan pragmatik dalam menghadapi krisis bekalan air di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak sepatutnya menjadikan isu itu sebagai isu politik kerana hanya akan menyusahkan rakyat dan negara jika masalah itu tidak diatasi segera.

Ini, katanya, bukan soal Selangor dan Wilayah Persekutuan sahaja, tetapi membabitkan sejumlah besar penduduk dan pengguna air selain sektor industri dan perniagaan.

"Jadi kesannya bukan sekitar negeri itu sahaja tetapi kesan kepada negara amat besar sekali. Jadi kita minta kerajaan Selangor bersikap praktikal dan pragmatik dengan mengambil langkah segera.

"Jangan jadikan isu ini isu politik atau buat ugutan yang tidak tentu arah," katanya kepada pemberita sebagai mengulas kenyataan Abdul Khalid yang disiarkan akhbar hari ini dengan memberi kata dua kepada kerajaan pusat sebagai syarat untuk meneruskan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2).

Antara syarat yang ditetapkan termasuklah meminta kerajaan pusat tidak menaikkan tarif air serta mengiktiraf RM10.5 bilion aset seperti paip, loji rawatan dan empangan sebagai milik kerajaan negeri.

Muhyiddin, yang sebelum itu merasmikan majlis penutupan Dialog Nasional Pendidikan Negara di sini berkata, proses perundingan berhubung Langat 2 lama dijalankan dan bukan satu perkara baru.

"Tidak perlu ada ugutan dan sudah ada banyak kali perbincangan diadakan dan kita minta mereka ambil langkah yang amat segera kerana jika Langat 2 tidak dibina, ia akan menjejaskan penduduk dan krisis air akan melanda kawasan tengah di negara ini," katanya.

Katanya, soal seperti tarif air dan mengurangkan kadar air tanpa hasil (NRW) boleh dibincangkan kemudian kerana soal yang lebih penting pada masa kini ialah pembinaan loji berkenaan untuk mengelak krisis air yang teruk.

"Dia (Abdul Khalid) dah tahu cerita sebenar, dia berdolak-dalik berkali-kali, dia kata boleh selesai, kemudian tak nak selesai dan dia minta buat itu ini.

"Jangan sampai dia sudah jadi krisis, jika menjelang 2014, jika projek bekalan air baru tidak disediakan, krisis teruk akan berlaku dua tahun lagi. Jadi kita minta dia segerakan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment