My Add

Wednesday 4 July 2012

Wanita Thailand dihukum gantung edar dadah

ALOR SETAR, RABU, 04 Julai, 2012: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang wanita Thailand selepas didapati bersalah mengedar dadah, dua tahun lalu. 

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Natcha Babkaew, 32, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu. Natcha yang bekerja sebagai penjaja makanan ringan didakwa mengedar kanabis seberat 18,630 gram di lorong 2, Bahagian Kenderaan, Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Bukit Kayu Hitam pada jam 1.35 petang 19 November 2010. 

Mohd Zaki berkata, keterangan pembelaan Natcha yang mengatakan bahawa dia tidak mengetahui bahawa beg yang dibawa berisi dadah, tidak boleh dipercayai kerana tertuduh ditawarkan upah yang mahal untuk membawa beg itu. 

"Secara umumnya tertuduh tidak menafikan bahawa dia membawa dua beg itu dari Bangkok, yang diterima daripada dua lelaki Afrika untuk diserahkan kepada seorang lelaki Afrika yang lain di pekan Changlun. 

"Keterangan tertuduh bahawa dia tidak tahu apa kandungan beg itu hanya diada-adakan bagi melepaskan diri, justeru tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah semasa pembelaannya," katanya. 

Natcha yang menghidap sakit jantung berlubang dan mempunyai seorang anak berusia lapan tahun didakwa mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Radzi Shah Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Ai Cha Ran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment