My Add

Friday, 31 August 2012

13,000 generasi Y semarak Hari Kemerdekaan ke-55

Lebih 20,000 banjiri Dataran Merdeka,  persembahan bertenaga, tarik minat pelancong

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Ogos, 2012:: Perbarisan sempena ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara peringkat nasional di Dataran Merdeka pagi ini meriah disertai 13,000 peserta pelbagai lapisan berbilang kaum khususnya generasi muda,  melambangkan perpaduan yang kukuh dan sejahtera.

Bertemakan '1Malaysia Janji Ditepati', perhimpunan perbarisan bermula sebaik keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tepat jam 8 pagi dengan disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Yang di-Pertuan Agong kemudian menerima tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja.  

Acara dimulakan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memeriksa perbarisan kontinjen kawalan kehormat utama yang terdiri daripada 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Pada masa sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat, TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Sambutan Hari Kemerdekaan yang bertemakan '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati' itu disusuli dengan persembahan Kumpulan Drumline dan perarakan kontinjen yang mengambil bahagian.

Antara yang mengambil bahagian, Pasukan Ketenteraman Awam dan Sukarelawan, Kontinjen Pewira Veteran, Kontinjen Infrastruktur Komunikasi dan Kontinjen TransformasiPertanian sekali gus menyaksikan pembabitan 29 kontinjen meliputi 14,464 peserta dan tujuh pancaragam pada tahun ini.

Turut berangkat, Raja PermaisuriAgong Tuanku Hajah Haminah. Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim; Menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada masa sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.

Tuanku Abdul Halim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Utama terdiri empat pegawai dan 103 anggota Satu Rejimen Askar Melayu Diraja dan diikuti dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali sebelum diikuti dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu 'Negaraku' dan tembakan meriam 14 das.

Sambutan kemuncak diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh 55 peserta yang mewakili pelajar dan guru, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan badan berkanun serta orang kurang upaya dengan berpakaian pelbagai kaum sebagai simbolik dengan diketuai oleh pelajar Sekolah Menengah Taman Melawati Gombak Azrai Abdul Aziz.

Ia disusuli dengan laungan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali diikuti laungan 'Janji Ditepati' sebanyak tiga kali. 

Acara diteruskan dengan persembahan segmen pertama mengenai Rukun Negara yang disampaikan melalui bicara berirama dengan penuh berwarna warni oleh pelajar.

Diikuti dengan perarakan masuk perbarisan yang dimulakan dengan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia dan dikuti dengan kontinjen membawa Jalur Gemilang dan kontinjen membawa bendera kesemua 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Buat julung kali perbarisan kontinjen agensi kerajaan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dengan diiringi oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Kontinjen agensi kerajaan turut dianggotai oleh pemimpin tertinggi setiap kementerian itu iaitu ketua setiausaha kementerian masing-masing selaras dengan tema perayaan Hari Kemerdekaan tahun ini "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati". -

Persembahan bertenaga generasi muda negara pada sambutan itu menarik minat wakil kedutaan dan pelancong asing yang menyaksikannya.

Pelancong Australia, Michael Steward, 20, berkata beliau terpesona dengan koordinasi persembahan peserta yang sangat menarik walaupun membabitkan ribuan orang.

"Walaupun disertai ramai anak muda yang tidak ada pengalaman, persembahan itu mengagumkan kerana mereka lakukannya kerana cintakan negara," katanya.

Sementara itu isteri kepada Duta Poland, Magdalena Skowyra-Jelonek pula tidak putus-putus melahirkan rasa kagum terhadap persembahan dan perarakan Hari Kemerdekaan tahun ini yang rata-rata dikuasai oleh generasi muda.

"Saya sangat menghargai kerja keras itu, orang ramai gembira serta terpesona dengan persembahan dan ini jelas menunjukkan rakyat Malaysia berbilang bangsa boleh bekerjasama antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu warga Indonesia, Oso Rochjana, 55, yang juga seorang guru dari Bandung, berkata tahun ini persembahan sambutan perarakan Hari Kemerdekaan sangat bertenaga berbanding sebelum ini yang dilihat dari siaran televisyen.
Beliau turut mendoakan semoga Malaysia terus maju.

Peniaga Ahmad Sabree, 42, yang sanggup turun bersama isteri dan dua anaknya dari Ipoh untuk melihat perarakan itu turut bersetuju bahawa perarakan dan persembahan tahun ini lebih tertumpu kepada generasi muda.

"Saya lihat sejak dari awal pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, beliau memang aktif bersama orang muda dan ini juga sangat jelas semasa persembahan hari ini. Baguslah, sudah sampai masanya generasi muda kita diberi satu tanggapan bahawa peranan mereka sebenarnya sangat perlu untuk negara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment