My Add

Thursday 30 August 2012

Mata rosak: Kakitangan JKJR saman syarikat kosmetik RM1j

KOTA BHARU, RABU, 29 Ogos, 2012: Seorang kakitangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kelantan mengemukakan tuntutan saman RM1 juta terhadap pemilik syarikat pengeluar barangan kosmetik dan rakan kongsinya selepas mendakwa mata kanannya buta akibat menggunakan produk keluaran syarikat berkenaan.

Rozali Che Mat, 40, menamakan Mohd. Azuan Alwi dan Mohd. Zulkifli Dollah yang merupakan dua individu penting dalam kedua-dua syarikat berkenaan yang beralamat di bangunan Perbadanan Kemajuan Ikhtisad Negeri Kelantan (PKINK), Tumpat sebagai defendan pertama dan kedua.

Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz pada pukul 12.30 tengah hari di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam saman tersebut, Rozali dari Pengkalan Chepa selaku pihak plaintif menuntut ganti rugi teruk dan teladan sebanyak RM1 juta, ganti rugi am akibat kecederaan atau kehilangan mata dan ganti rugi khas. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment