Norfatimah Ahmad dan Nazura Ngah |
KUALA LUMPUR, RABU, 29 Ogos, 2012: Datuk Seri Najib Razak berkata, perpaduan menerusi semangat 1Malaysia saja yang membolehkan negara menjadi semakin baik pada masa akan datang.
Sempena sambutan kemerdekaan ke-55, Perdana Menteri berkata, semangat sama juga menjadi simbol kejayaan negara pada masa sekarang.
“Ingatlah, selama ini kita bersama-sama merempuh segala dugaan dan cabaran sejak 55 tahun lalu. Tidak mungkin ada negara lain yang mampu menyatukan rakyatnya daripada pelbagai etnik untuk bersama-sama menikmati teh tarik di kedai mamak sambil menonton aksi atlit negara di Sukan Olimpik dan meraikan kejayaan negara seperti yang kita lihat di negara ini.
“Oleh itu, tidak kira perbezaan etnik, fahaman agama, mahupun bangsa, saya menyeru supaya rakyat Malaysia terus mengekalkan semangat perpaduan ini,” katanya menerusi Blog 1Malaysia, hari ini..
Malah, Perdana Menteri berkata, rakyat perlu tahu bahawa kejayaan hari ini adalah hasil perpaduan masyarakat berbilang bangsa dan tiada satu pun bangsa di negara ini yang menyokong perjuangan komunis.
Selain itu, katanya, banyak perkara yang boleh dipelajari jika rakyat menghayati sejarah hasil perjuangan sepanjang proses negara mencapai kemerdekaan.
“Kita juga seharusnya tidak lupa yang kejayaan ini juga adalah hasil perpaduan kita dengan etnik Sabah dan Sarawak seperti Iban, Dayak dan Kadazan Dusun.
“Adalah mustahil kita mengecapi kejayaan seperti hari ini secara bersendirian. Sudah pasti ia didorong kepelbagaian lapisan masyarakat yang mempunyai kelebihan masing-masing hingga menjadikan kita mampu bersaing pada peringkat global,” katanya.
Sehubungan itu, rakyat diminta meraikan hari kemerdekaan tahun ini dengan memperingati jasa pejuang kemerdekaan yang menghadiahkan sebuah negara berdaulat.
Perdana Menteri berkata, rakyat patut berbangga dengan pembangunan pesat negara, terutama menerusi sektor ekonomi yang sedang berkembang dan semakin stabil ketika negara lain bergelut dengan krisis ekonomi.
Katanya, ketika pasaran global yang tidak menentu, pasaran modal dalam negara mencatatkan rekod tertinggi dengan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) dan Integrated Healthcare Holdings Bhd (IHH) tersenarai pada kedudukan kedua dan ketiga terbesar di dunia tahun ini.
“Kita juga berjaya memperbaiki kedudukan global apabila menduduki tangga ke-15 terbaik dunia dalam pasaran barangan paling berkesan, tempat ke-26 dari segi pembangunan infrastruktur dan ke-18 sebagai ekonomi paling berdaya saing di dunia,” katanya.
Najib berkata, apabila ekonomi dalam keadaan baik, sudah pasti memberi impak sosial yang baik, termasuk dengan kualiti pendidikan dan kemudahan asas seperti elektrik dan air terutama di kawasan pedalaman. mi - BH
No comments:
Post a Comment