My Add
Thursday, 30 August 2012
Golongan muda perlu libatkan diri dengan seni silat
*ROSMAH Mansor bersama pesilat cilik dari Tadika Al-Ilmu, Ampang, Selangor pada majlis penyerahan anugerah selimpang Tun Teja Pertubuhan Seni Silat Kegayungan (A) Helang Putih di Putrajaya, semalam. Turut hadir Mahaguru Dr. Raja Aziz Laksamana Hoja Andak (tengah). - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN
PUTRAJAYA, RABU, 29 Ogos, 2012: Pembabitan lebih ramai orang muda mempelajari disiplin tinggi dalam seni silat akan membolehkan golongan itu melengkapkan proses pembangunan diri dalam pengisian ketahanan mental dan fizikal.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata, keunikan seni silat juga mampu membentuk, memperkasakan dan mendisiplinkan sesebuah masyarakat.
Sebagai warisan Melayu yang unggul, katanya, seni silat juga mampu untuk menonjolkan satu budaya hidup yang sihat di kalangan rakyat negara ini.
"Umum mengetahui seni silat bukan sahaja mengajar ahli-ahlinya bagaimana mempertahankan diri tetapi lebih utama adalah untuk membina satu masyarakat yang mempunyai ketahanan dalaman, jati diri, disiplin dan pembentukan sahsiah yang tinggi.
"Sesungguhnya banyak ilmu yang boleh masyarakat kita pelajari melalui seni silat, pengalaman para tenaga pengajar juga merupakan sesuatu yang amat berharga dan seharusnya generasi muda merebut peluang untuk menuntut ilmu dari mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis adat penganugerahan Selempang Tun Teja oleh Persatuan Seni Silat Kegayungan Helang Putih Malaysia di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Rosmah merupakan wanita pertama dianugerahkan Selempang Tun Teja dan secara rasminya menjadi Penaung Kehormat pertubuhan itu.
Penganugerahan oleh Presiden dan Pengasas Persatuan Seni Silat Kegayungan Helang Putih Malaysia, Mahaguru Dr. Raja Aziz Laksamana Hoja Andak itu juga sebagai tanda pengiktirafan terhadap semangat juang Rosmah dalam memartabatkan kaum wanita di Malaysia.
Menurut Rosmah, anugerah tersebut adalah sebagai simbolik bahawa kaum wanita juga berupaya memainkan peranan yang tidak kurang penting di dalam sesebuah organisasi mahupun negara.
"Saya amat mengharapkan pengiktirafan ini dapat menyemarakkan lagi semangat keperwiraan di hati rakyat Malaysia terutamanya di kalangan kaum wanita," katanya. - UTUSAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment