My Add

Friday 31 August 2012

PM janji kekalkan kestabilan, kemakmuran, kedaulatan negara

Najib Razak
*NAJIB Tun Razak berucap selepas berakhir sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Manso
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Ogos, 2012:: Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, kerajaan akan terus berusaha mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara untuk generasi muda selaras dengan slogan "Janji Ditepati."

"Bila janji dibuat, kita tepati. Kita janji kestabilan, kita janji kemakmuran," kata Perdana Menteri semasa mengucapkan terima kasih kepada peserta selepas sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 yang bertemakan "55 tahun Merdeka Janji Ditepati" di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Beliau berkata: "Setelah 55 tahun merdeka, kita dapat mewujudkan negara yang stabil dan makmur serta menambah kesejahteraan kepada rakyat. Itulah Janji Ditepati."

Najib yang diiringi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan Hari Kemerdekaan bersama isteri masing-masing beramah mesra dengan para peserta sebaik tamat majlis itu sebelum menaiki pentas khas untuk menyampaikan ucapan.

Najib yang sebelum itu turut menunjukkan ekspresi "1M4U" kepada peserta serta melaungkan "1Malaysia" disambut dengan penuh bersemangat oleh peserta, turut berkata, ini semua dilakukan untuk generasi baru, iaitu generasi Y negara, bagi memastikan apabila mereka mengambil alih kepimpinan, negara berada dalam keadaan lebih stabil dan makmur.

"Saya berada di sini untuk anda, kami berada di sini untuk anda dan kami melakukan ini untuk anda," katanya.

Perdana Menteri juga turut berterima kasih dan memuji persembahan peserta yang disifatkan sebagai persembahan yang begitu bertenaga, berinspirasi dan menimbulkan rasa cinta dan kasih kepada negara.

Najib, yang mewakili kerajaan turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada perserta atas persembahan terbabit dan kepada Rais atas kejayaan sambutan hari ini.

Najib, Muhyiddin dan Rais serta isteri masing-masing turut bersama para peserta menyanyikan lagu "1M4U". - BERNAMA

No comments:

Post a Comment