ALOR SETAR, RABU, 29 Ogos, 2012:: Pemuda GERAKAN Kedah hari ini menyarankan supaya kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS meminda perlembagaan negeri bagi mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar.
Ketuanya, Tan Keng Liang, berkata keadaan itu dilihat perlu bagi membantu tugas Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang kerap mengambil cuti sekarang kerana masalah kesihatan.
"Pulau Pinang dan Kelantan yang dikuasai pakatan pembangkang boleh melantik timbalan ketua menteri dan menteri besar, mengapa Kedah tidak boleh melakukannya," katanya pada sidang media, di sini.
Tan berkata, akibat masalah kesihatan, Azizan tidak dapat mengadakan mesyuarat exco kerajaan negeri selama tiga minggu berturut-turut sejak Ramadan lalu.
“Tiada mesyuarat exco bermakna banyak perkara penting membabitkan rakyat yang memerlukan persetujuan menteri besar tertangguh.
"Keadaan ini menyebabkan rakyat terbeban dan kesusahan. Malah kestabilan politik juga boleh terjejas. Sekiranya jawatan timbalan menteri besar diwujudkan perkara ini dapat dielakkan," katanya.
Difahamkan mesyuarat exco yang dijadual hari ini juga tidak diadakan kerana Azizan belum masuk bertugas kerana tidak sihat.
Menteri Besar itu juga tidak menghadiri jamuan Hari Raya Menteri Besar yang diadakan di sini pada Sabtu lalu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment