KUALA TERENGGANU, JUMAAT, 1 Ogos, 2012:: Penduduk Jabi di Setiu teruja untuk menyambut kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke kawasan mereka Khamis ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali berkata, pelbagai aktiviti dirancang untuk menyambut kunjungan pertama kali Najib itu, antaranya perarakan konvoi 500 buah motosikal, 55 buah kereta Kancil, 55 buah lori dan 55 buah pacuan empat roda.
"Konvoi akan bermula dari pekan Jabi hingga ke padang bola Kampung Tok Lebai, sejauh kira-kira lapan kilometer, sebagai gimik sempena sambutan Kemerdekaan negara kali ke-55.
"Pemimpin nombor satu negara itu juga akan dihiburkan dengan persembahan dikir barat dan gendang tradisonal," katanya kepada Bernama hari ini.
Perdana Menteri dan isteri dijangka tiba jam 10.30 pagi di Lapangan Terbang Tentera Gong Kedak, Besut sebelum menghadiri majlis rumah terbuka bersama kira-kira 10,000 rakyat di padang bola kampung itu.
Ramlan berkata seramai 555 anggota dari 37 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Jabi akan bergotong-royong di lokasi majlis tersebut pagi esok untuk kerja-kerja pembersihan serta mendirikan khemah.
"Sebanyak 14 menu dirancang sebagai jamuan tengah hari itu antaranya nasi dagang, nasi minyak, laksa, gulai kawah, ketupat, tapai, ayam golek, sate, lemang dan kuih-muih," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment