My Add

Friday 31 August 2012

Pas hormati orang pernah berjasa, kata Nik Aziz


 HABSAH ISMAIL
KOTA BHARU, JUMAAT, 31 Ogos , 2012: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu semua pihak bersabar menunggu keputusan yang akan dibuat bagi menentukan nasib Ahli Parlimen Bachok, Nasharuddin Mat Isa.

Sinar Harian memetik Menteri Besar Kelantan itu sebagai berkata, beliau sudah berulang kali menyatakan kes bekas Timbalan Presiden itu perlu diputuskan pada Majlis Syura yang akan diadakan pada 9 September ini.

“Saya akan hadir pada mesyuarat itu jika tidak uzur. Tidak usah peduli sangat siapa orang itu. Yang penting, Pas mengutamakan mereka yang pernah berjasa kepada agama.

“Jika orang itu didapati pernah berjasa kepada agama, kita hormat dan beri sokongan kepadanya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke atas mangsa ragut yang hampir putus tangan, Rohaini Abdullah, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Pas termasuk Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din turut mempertahankan Nasha apabila menegaskan agar kes itu dipertimbangkan semula, malah menyatakan hubungan pakatan adalah wajar dan bukan satu kesalahan.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Veteran-veteran Pas anjuran Pemuda Pas Kota Bharu di Pejabat Tabung Amanah Tok Kenali, jalan Raja Dewa, di sini.

Menurut UTUSAN pula Nik Aziz menegaskan, masa depan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dalam Pas bakal ditentukan dalam mesyuarat agung akan datang parti itu.

Beliau yang sebelum ini bersikap dingin terhadap Nasharudin berkata, banyak kenyataan mengenai isu itu telah dikeluarkan, justeru semua pihak perlu menunggu sehingga mesyuarat agung parti untuk mengetahui keputusannya.

"Pasal Nasharudin saya sudah cakap banyak kali. Tunggu mesyuarat agung nanti, saya akan hadir kalau tidak uzur. Sebabnya saya sekarang dalam keadaan uzur baru tiga hari keluar hospital," katanya ketika ditemui Utusan di sini hari ini.

Beliau berkata, persoalan berhubung siapa yang disokong oleh seseorang pemimpin bukan perkara penting sebaliknya mereka akan dinilai berdasarkan perjuangan dalam menegakkan Islam.

No comments:

Post a Comment