My Add

Friday 31 August 2012

Kesihatan penduduk dipantau

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Ogos, 2012: Kementerian Kesihatan sentiasa memantau secara dekat keadaan kesihatan penduduk di Bukit Koman, Raub dan dakwaan bahawa masalah kesihatan yang timbul, berkait dengan operasi sebuah kilang memproses emas berdekatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pemantauan kesihatan di kawasan itu sudah dimulakan sejak 2009 dan pasukan pegawai kesihatan akan terus dihantar secara kerap untuk membuat pemeriksaan.

"Penduduk tak perlu bimbang kerana Kementerian Kesihatan sentiasa bersama mereka untuk mencari punca masalah yang dihadapi.

"Kita akan buat kajian terperinci untuk mencari punca penyakit yang diuar-uarkan itu," katanya kepada di sini hari ini.

Beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Kementerian Kesihatan mengambil remeh keadaan kesihatan penduduk di Kampung Bukit Koman yang kononnya terjejas akibat keracunan sainida di kilang emas berkenaan.

Tiong Lai berkata, satu pasukan kajian, baseline health study ditubuhkan kementeriannya pada 12 Julai lepas untuk menyelidik secara terperinci masalah kesihatan yang dialami penduduk di situ.

"Pasukan yang dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Lokman Hakim Sulaiman itu juga mendapatkan penglibatan sebuah kumpulan anti-sainida iaitu Pahang Raub Anti-Cyanide Gold Mining Committee (BCAC) untuk menjalankan siasatan bersama.

"Kumpulan itu juga bersetuju untuk melantik pakar bagi menjalankan siasatan bersama. Mereka juga menjalankan kajian yang menunjukkan 78 peratus penduduk (383 orang) di Bukit Koman jatuh sakit akibat sainida yang digunakan di kilang emas itu," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya dan BCAC mengadakan pertemuan susulan pada 13 Ogos lepas, tetapi sehingga hari ini, pihaknya masih belum mendapat sebarang maklum balas berkaitan laporan mengenai penduduk yang dilaporkan sakit mahupun mengenai pelantikan pakar daripada kumpulan itu.

"Saya harap jika mereka betul-betul ambil berat isu ini, jangan tangguh lagi dalam menghantar wakil.

"Kita mahu siasatan ini dijalankan bersama dan serta merta kerana kita mahu hasil kajian adalah bebas, telus dan bertanggungjawab," katanya.

Tiong Lai berkata, walaupun pemantauan kesihatan di kawasan itu juga menunjukkan jumlah pesakit yang diterima adalah sama dengan kawasan lain, pemeriksaan pada bulan lepas mendapati daripada 200 pesakit dirawat, 60 orang menghadapi masalah penyakit kulit.

"Sebab itu, kita nak buat kajian, apa punca penyakit kulit dan penyakit lain yang dialami penduduk di kawasan itu.

"Sama ada ia betul-betul berpunca dari kilang itu atau sumber lain seperti pembakaran terbuka ataupun air. Itu kita belum dapat pastikan lagi," katanya.

BCAC juga sebelum ini mendakwa penggunaan sainida, iaitu sejenis bahan kimia yang digunakan untuk melebur emas dalam kilang pemprosesan emas Raub Australian Gold Mining Sdn. Bhd. telah menyebabkan keracunan sainida ke atas kesihatan penduduk setempat termasuk masalah kulit dan pernafasan.

Selain itu, kumpulan Himpunan Hijau yang sebelum ini lantang membantah operasi kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng juga dilaporkan akan mengadakan perhimpunan Ahad ini di Bukit Koman untuk membantah operasi kilang emas itu.

Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack juga dilaporkan menggesa Tiong Lai supaya segera menyelesaikan masalah kesihatan itu ataupun meletak jawatan.

Justeru, Tiong Lai juga mempersoal motif sebenar pihak berkenaan yang dilihatnya tidak pernah wujud sebelum ini, tetapi tiba-tiba muncul untuk memperjuang hak penduduk di situ.

Beliau menyifatkan mereka sengaja mahu mengambil kesempatan mempolitik dan memutar-belitkan isu Bukit Koman semata-mata untuk meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 dan menidakkan usaha Kementerian Kesihatan untuk rakyat.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, BCAC diberi masa sebulan untuk menyenaraikan nama pakar bagi menjalankan siasatan tersebut.

Beliau berkata, diharapkan ketika pertemuan pada 20 September ini, mereka bersedia dengan senarai nama pakar bagi membolehkan kajian dijalankan secepat mungkin.

"Kita tidak memberi tekanan, tetapi lagi cepat lagi bagus supaya kajian dapat dijalankan segera dan berharap juga mereka tidak mempolitikkan isu itu kerana kementerian amat telus. Sebab itu, kita jemput mereka menyertai pasukan ini dan langkah terbaik adalah menjalankan siasatan bersama," katanya.

Kementerian, katanya, akan membiayai keseluruhan kos untuk menjalankan kajian dan siasatan kecuali kos membeli peralatan baharu serta gaji kepada ahli pasukan.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk Kampung Bukit Koman, Raub, Pahang memfailkan saman di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur bagi membantah penggunaan racun sianida dalam pelombongan emas oleh syarikat Raub Australian Gold Mining Sdn. Bhd. - BENAMA

No comments:

Post a Comment