My Add

Friday 31 August 2012

Khutbah politik: Kuasa di tangan kerajaan negeri

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Ogos, 2012: Kuasa untuk mengambil tindakan ke atas imam dan khatib masjid yang membaca khutbah Aidilfitri berunsur politik serta menggalakkan perpecahan umat Islam di negeri Kelantan baru-baru ini hanya terletak di tangan kerajaan negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ini kerana dalam Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa hal berkaitan agama di bawah kuasa negeri.

Justeru, katanya, walaupun aduan dibuat kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), namun kuasa untuk mengambil tindakan ke atas sebarang kesalahan berkaitan agama terletak di bawah kuasa majlis agama negeri atau kerajaan negeri.

''Memang kita ada menerima aduan namun bagi kes-kes sedemikian, ia terletak di bawah kuasa negeri masing-masing untuk diambil tindakan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pada Majlis Konvokesyen Institut Profesional Baitulmal Ke-9 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi IPB, Datuk Dr. Ismail Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr. Muhammad Yamin Ismail dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.

Beliau mengulas tindakan Kerajaan Pas Kelantan membenarkan imam dan khatib di masjid serta surau di negeri itu membaca khutbah Aidilfitri berunsur politik dan mengajak orang ramai ke arah perpecahan pada 1 Syawal lalu.

Susulan kejadian itu, tambah Jamil Khir, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) harus mengambil tindakan ke atas mana-mana imam dan khatib yang membaca khutbah tersebut atau sekurang-kurangnya memberi penjelasan atas kejadian itu kepada masyarakat umum.

''Majlis agama negeri dan kerajaan negeri Kelantan bertanggungjawab atas kejadian itu dan mereka harus mengambil tindakan sewajarnya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihak Lembaga Tabung Haji sehingga hari ini masih belum menerima kuota jemaah haji daripada kerajaan Arab Saudi.

''Perkara ini membimbangkan kerana kuota haji itu sepatutnya diterima pada awal Ramadan lalu, malah kumpulan pertama yang dijangka berlepas ke tanah suci sudah tidak lama lagi iaitu pada 17 September ini.

''Ia bukan sahaja membimbangkan pihak kerajaan, malah 28,000 jemaah haji yang nama mereka telah disenarai untuk mengerjakan haji pada tahun ini," katanya.

Tambah beliau, pihak Tabung Haji kini sedang menggerakkan jentera untuk mendapatkan maklumat berkenaan kuota itu dengan segera. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment