My Add

Thursday 30 August 2012

Nasharudin: Ahli Pas berhak nyata sokongan

Tak perlu tindakan drastik, kata Hashim Jasin

ALOR SETAR, RABU, 29 Ogos, 2012: Pas Kedah menasihatkan ahlinya menggunakan saluran dalaman jika ingin menyatakan pandangan berhubung isu yang melibatkan bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas negeri, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi berkata, ahli Pas berhak menyatakan pendirian berhubung isu Nasharudin yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas pada 9 September ini.

Katanya, ia memandangkan parti itu sentiasa terbuka menerima apa juga pandangan akar umbi dalam semua isu.

"Setiap ahli mempunyai hak untuk menyatakan sokongan, namun elakkan hingga mencetus kekacauan termasuk demonstrasi aman. Tidak perlu hingga wujudkan suasana tidak harmoni, kerana ahli boleh kemuka cadangan secara bertulis kepada Pas Pusat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dari KANGAR, dilaporkan Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin berkata
Nasharudin wajar kekal sebagai ahli parti berkenaan kerana krisis antara Ahli Parlimen Bachok itu dengan pucuk pimpinan Pas bukanlah isu besar sehingga memerlukan tindakan drastik diambil terhadapnya.

Menurutnya, Nasharudin juga tidak melakukan 'kesalahan' besar sebagai ahli parti malah kontroversi yang tercetus perlu dilihat daripada pelbagai sudut.

"Secara peribadi, saya merasakan apa yang berlaku tidaklah 'besar sangat' dan tidak perlulah tindakan seperti pemecatan dan sebagainya," kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang ketika dihubungi di sini hari ini.

Hashim mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini mengenai kenyataan beberapa pemimpin Pas dari seluruh negara terus yang mempertahankan Nasharudin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment