*MAS Adilah bersama anak-anaknya ketika sambutan Aidilfitri kali ini. (Dari kiri) Muhammad Hidayat Ali, 13, Hijjaznur Ali, 7, dan Hirsyamnur Ali, 8. RUZY ADILA IDRIS |
SIAPA menyangka tema Hari Kemerdekaan pada 1972 iaitu "Masyarakat Adil" akan menjadi catatan istimewa seorang bayi perempuan yang lahir pada awal pagi 31 Ogos lalu diberi nama Mas Adilah Dzulkapli.
Mas, 40, akhirnya dilahirkan tepat jam 1.30 pagi di Hospital Assunta, Petaling Jaya.
"Mak kata dia sakit macam biasa, sama seperti orang hendak bersalin dan ketika tanda-tanda bersalin sudah kelihatan, adik ipar mak yang hantar ke hospital.
"Alhamdulillah, kata mak proses kelahiran saya berjalan dengan lancar, cuma masa itu tidak macam sekarang, kelahiran anak merdeka boleh masuk akhbar," katanya kepada Sinar Harian Online.
Ketika ditanya apakah perasaan menjadi anak merdeka, Mas memanjat kesyukuran kerana ditakdirkan lahir pada tarikh itu.
Katanya, setiap tahun, satu Malaysia akan menyambut 'harijadinya'.
"Seperti orang lain, sambutan hari jadi saya akan disambut bersama keluarga dan ibu akan menyediakan kek serta saya berpeluang untuk meniup lilin.
"Masa muda-muda dulu, saya ada juga pergi mengikuti sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka bersama ibu dan bapa saudara saya, cuma sekarang ini sudah tidak buat lagi aktiviti itu disebabkan oleh kekangan masa," ujar ibu kepada tiga cahaya mata lelaki ini.
Tambah Mas, dia sengaja pergi ke Dataran Merdeka untuk merasai detik-detik laungan "Merdeka, Merdeka, Merdeka".
Katanya, perasaan ketika laungan itu dibuat sangat teruja dan seronok kerana semua orang, tidak kira bangsa ataupun agama akan bersatu untuk meraikan mengimbau nostalgia yang tidak boleh dilupakaan semasa tarikh 31 Ogos, Mas berkata, ketika dia sedang menunggu detik kemerdekaan di Dataran Merdeka pada 1992, orang ramai sudah berpusu-pusu untuk mendapatkan tempat duduk di padang.
"Saya bersama-sama ibu saudara dan suaminya seorang warga Itali bersemangat untuk berkumpul ramai-ramai walaupun terpaksa meletakkan kereta sangat jauh dari tempat sambutan.
"Masa itu, ulang tahun saya yang ke 20. Dek kerana terlalu bersemangat hendak pergi, kami tidak membawa apa-apa lapik tetapi tetap sanggup duduk dan menunggu bunga api dan laungan merdeka," kata anak jati Selangor ini lagi.
Mas yang bertugas sebagai kerani di sebuah syarikat swasta ini berkata, bagi dirinya sendiri, erti kemerdekaan itu sangat besar.
"Misalnya, walaupun negara kita sudah 55 tahun merdeka tetapi masih ada di antara kita yang masih dikuasai pengaruh dadah, jadi bagi golongan ini, mereka belum merdeka sepenuhnya.
"Merdeka untuk saya pula ialah bila saya mampu berdiri di atas kaki saya sendiri. Bukan maksud saya hidup dengan famili seperti dikongkong, maksud saya bila saya dapat berdikari untuk membela keluarga saya di dunia dan di akhirat," jelas anak bongsu dari dua beradik perempuan ini.
Mengulas mengenai sambutan hari jadinya tahun ini, Mas tidak ada merancang apa-apa yang istimewa dan kemungkinan akan membawa anak-anaknya merasai pengalamannya menyambut Hari Kemerdekaan di Dataran Shah Alam.
No comments:
Post a Comment