Kelongsong peluru jenis 5.56mm dipercayai kegunaan senjata M-16 itu ditemui di dalam satu beg plastik di dalam premis berkenaan ketika serbuan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira jam 3 petang semalam.
Malah pemilik premis berusia 45 tahun itu juga dipercayai membeli dan memiliki barangan lusuh yang dicuri di sekitar daerah ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata kelongsong peluru itu dipercayai dijual pengumpul besi buruk kerana ia mempunyai nilai kerana diperbuat daripada tembaga.
"Tetapi kita masih tidak dapat kenal pasti dari mana kelongsong itu diperoleh," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
Polis turut menemui beg mengandungi kepala paip dan meter air yang dipercayai dicuri dalam serbuan itu, katanya.
"Selain itu kita turut jumpa 18 guni dan dua tong mengandungi keratan tembaga dan ia juga dipercayai diambil dari kabel telefon tetapi kita tidak dapat kenal pasti pemiliknya kerana penebatnya sudah dibuang," katanya.
Katanya, serbuan yang turut disertai beberapa pegawai syarikat telekomunikasi Celcom itu turut menemui empat bateri bekalan kuasa sokongan pencawang telekomunikasi dengan tiga daripadanya disahkan milik Celcom manakala satu lagi belum dikenal pasti.
Katanya, suspek yang juga warga tempatan itu kini ditahan reman untuk siasatan.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment