My Add

Friday 31 August 2012

Pas manipulasi tulisan Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Ogos, 2012: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar tindakan Pas yang sengaja membuat tafsiran salah mengenai peribahasa Inggeris better the devil you know than the angel you don't yang digunakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai politik dangkal pembangkang, beliau berkata, pemimpin Pas sebenarnya memahami maksud sebenar peribahasa tersebut tetapi sengaja diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dalam pengertian yang salah demi untuk mengelirukan fikiran masyarakat.

"Saya amat kesal dan terkilan dengan sikap pembangkang yang sengaja membuat tafsiran salah. Barangkali Pas sudah ketandusan isu sehingga pepatah Inggeris yang digunakan Dr. Mahathir dimanipulasi sebagai agenda propaganda untuk memburukkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

"Tulisan Dr. Mahathir bukan bermaksud menyamakan syaitan dengan malaikat sebagaimana dimanipulasi pembangkang. Maksud peribahasa itu lebih baik kita berurusan dengan orang dikenali daripada bersekongkol dengan pihak tidak dikenali," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Minggu lalu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa kononnya kenyataan berkias bekas Perdana Menteri itu bertentangan dengan akidah Islam yang mewajibkan setiap muslim percaya dan beriman kepada malaikat.

Pada masa sama, pemimpin Pas menyifatkan syaitan yang dimaksudkan Dr. Mahathir itu adalah UMNO sambil mendakwa haram bagi orang ramai memberi sokongan kepada syaitan pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Tengku Adnan, penggunaan peribahasa itu oleh Dr. Mahathir dalam tulisannya bukan bermaksud memberi pengertian secara khusus tetapi ia merupakan satu sindiran terhadap perilaku masyarakat agar mereka dapat membezakan antara kepimpinan BN dengan pakatan pembangkang.

"Tambahan pula, rekod BN sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab terbukti apabila rakyat merasai kesejahteraan dan keamanan di bawah pentadbiran BN sejak merdeka berbanding sikap pembangkang yang terserlah lebih cenderung ke arah negatif daripada melakukan kebaikan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment