My Add

Wednesday, 29 August 2012

Malaysia sasar pecah rekod dunia

*RAIS Yatim (kanan) menyaksikan raptai Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Ali Hamsa (dua, kanan), Kamaruddin Siaraf (dua, kiri) dan Ahmad Phesal Talib (kiri).

KUALA LUMPUR, SELASA, 28 Ogos, 2012: Sasaran 1 juta Tweet berunsurkan patriotik dan cintakan tanah air dari seluruh pengguna Twitter di Malaysia ditetapkan bagi memecahkan rekod dunia pada Perhimpunan Janji Ditepati sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, Jumaat ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pengguna Twitter di Malaysia boleh melakukan tweet dalam tempoh waktu satu jam dari pukul 8.15 malam sehingga 9.15 malam dengan mengikutinya di laman

Tweet #Merdeka55 pada malam sambutan akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Pada malam tersebut kita akan menjiwai sambutan kemerdekaan dengan melakukan tweeting sehingga 1 juta, kita mohon sesiapa yang menggunakan twitterdapat tweet sebagai melambangkan kasih sayang kita kepada Malaysia," katanya kepada pemberita selepas hadir menyaksikan raptai sempena Perbarisan Hari Kemerdekaan, Jumaat ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.

Beliau berkata, bagi menjayakan hasrat kerajaan itu, kementeriannya telah memohon kepada seluruh syarikat telekomunikasi di Malaysia agar membuat persediaan supaya tiada gangguan transmisi daripada segi komunikasi pada waktu tersebut bagi membolehkan pengguna Twitter membuat tweet.

Rais berkata, sesuai dengan hasrat kerajaan untuk menghimpunkan seramai mungkin pelbagai lapisan masyarakat Malaysia pada perhimpunan tersebut, perkhidmatan sistem transit aliran ringan (LRT) secara percuma akan disediakan kepada pengunjung.

"LRT secara percuma akan disediakan kepada pengunjung yang akan ke Bukit Jalil seawal pukul 8 pagi sehingga selesai perhimpunan itu....saya minta pengunjung yang datang dari Lembah Klang, dan seluruh tanah air agar dapat hadir bagi meramaikan perhimpunan ini," katanya.

Dalam pada itu beliau turut membidas tindakan pakatan pembangkang yang hanya pandai mempolitikkan sambutan hari kemerdekaan pada kali ini dengan menganggapnya sebagai satu tindakan yang keterlaluan.

"Tetapi mereka harus ingat sejak negara kita mengecapi kemerdekaan, pembangkang pun turut sama mengecapi apa yang telah dilakukan oleh kerajaan kita dari peringkat sekolah sehingga mereka memperolehi pekerjaan," katanya.

Beliau turut menepis dakwaan beberapa portal pembangkang yang mengatakan sambutan hari kemerdekaan pada kali ini hanya disambut oleh golongan yang prokerajaan sahaja. - BERNAMA

"Ada orang mengkritik mengatakan kita tidak menjemput sesetengah orang untuk hadir bersama-sama kita pada malam tersebut, itu semua tidak benar. Kita menyediakan jemputan sebenarnya, kita jemput semua masyarakat tidak kira apa kepercayaan mereka dan latar belakang politik yang didukungi mereka," katanya.

Terdahulu, Rais menyaksikan raptai sempena Perbarisan Hari Kemerdekaan yang disertai lebih 13,000 peserta dari pelbagai latar belakang agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan badan korporat bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 kali ini. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment