My Add

Thursday 30 August 2012

Perintah penghakiman ingkar terhadap Utusan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Ogos, 2012: Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan perintah penghakiman ingkar terhadap Utusan Melayu (M) Berhad setelah gagal memasukkan kehadiran di mahkamah berhubung saman yang difailkan oleh bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Hakim Datuk Yeoh Wee Siam mengeluarkan perintah itu pada 8 Ogos lalu iaitu selepas writ saman diserahkan kepada Utusan Melayu.

Peguam Mohd Zamri Ibrahim yang mewakili Mohammad Nizar memberitahu pemberita bahawa hari ini Timbalan Pendaftar Mazuliana Abdul Rashid memerintahkan pihaknya memfailkan notis taksiran ganti rugi.

Mohammad Nizar memfailkan saman fitnah berjumlah RM50 juta terhadap Utusan Melayu kerana menerbitkan pernyataan fitnah berhubung pembelian nombor plat kenderaan WWW 1 yang dibida pada harga RM520,000.

Sementara itu, bagi saman berjumlah RM50 juta yang difailkan Mohammad Nizar terhadap Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) berkaitan pernyataan fitnah yang sama, Hakim Yeoh menetapkan 19 Sept untuk pengurusan kes.

Mohd Zamri berkata tarikh itu ditetapkan di dalam kamar hari ini dan kesemua pihak perlu memaklumkan sama ada terdapat persetujuan penyelesaian di luar mahkamah ataupun tidak.

Turut hadir ialah peguam Jason Wee yang mewakili TV3.

Pada 10 Julai lalu Mohammad Nizar memfailkan dua saman tersebut secara berasingan (terhadap Utusan Melayu dan TV3) dan dalam pernyataan tuntutannya beliau menamakan Utusan Melayu dan TV3 sebagai defendan.

Katanya beliau telah mengeluarkan satu kenyataan melalui akaun Twitter miliknya pada 28 Mei lepas berhubung nombor plat itu.

Mohammad Nizar yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang mendakwa pada 30 Mei lepas, TV3 telah mengeluarkan berita melalui Buletin Utama pukul 8 malam, berhubung kenyataannya itu.

Beliau berkata keesokannya pada 31 Mei, Utusan Melayu menerbitkan satu artikel di halaman 11, akhbar Utusan Malaysia berhubung kenyataannya itu.

Mohammad Nizar mendakwa pernyataan ftnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang penderhaka kepada sultan amnya, dan Sultan Johor khususnya, beliau adalah ahli politik yang anti-sultan dan seorang ahli politik yang cuba menghasut rakyat untuk membenci Sultan Johor.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment