KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Ogos, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat tanpa mengira kaum, agama dan usia supaya menghayati maksud kemerdekaan dan menerapkan semangat kemerdekaan dalam jiwa masing-masing.
Timbalan Perdana Menteri berkata, merdeka sewajarnya disambut dalam erti kata menikmati hak sepenuhnya sebagai anak watan sebuah negara yang bebas dan berdaulat serta mempunyai peluang yang luas untuk membangunkan potensi diri, keluarga dan masyarakat dalam sebuah negara yang aman, stabil dan harmoni.
"Saya yakin Malaysia yang merdeka kini berada di landasan yang betul hasil kerjasama dan sikap toleransi serta penerimaan antara rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
"Komitmen, kesungguhan dan kerja keras semua pihak telah meletakkan Malaysia gah di mata dunia terutamanya dari segi mengekalkan keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa," katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di sini hari ini.
Paling penting, tambah beliau, kesemua yang dinikmati rakyat kini adalah hasil jasa, bakti dan keringat pejuang kemerdekaan, pemimpin negara dan semua rakyat yang berusaha gigih untuk membangunkan Malaysia dan melaksanakan agenda pengisian kemerdekaan selama 55 tahun.
Jelas Muhyiddin, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk menghargai dan menghayati erti sebenar kemerdekaan supaya negara boleh bergerak lebih padu dalam mengisi tahun-tahun kemerdekaan seterusnya.
"Marilah kita mengorak langkah bersama-sama mempertahankan kemerdekaan tanah air supaya kedaulatan Malaysia dihormati dan negara kita dipandang tinggi di mata dunia," katanya.
Beliau memberitahu, dengan kegigihan setiap rakyat mengisi erti kemerdekaan sebenar, lebih banyak kemajuan yang akan dicapai oleh negara ini dan impian menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 akan menjadi kenyataan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment