My Add

Thursday 30 August 2012

Jangan politikkan isu kesihatan penduduk Bukit Koman: Liow

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Ogos, 2012:: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini kesal dengan tindakan sesetengah pihak sengaja menggunakan isu kesihatan untuk mendapatkan modal politik dan mempermainkan masalah yang berlaku di Bukit Koman, Pahang.

Beliau berkata, pelbagai langkah diambil untuk memastikan masalah yang dialami penduduk, termasuk mengadakan lawatan dan kajian terperinci mengenai kesihatan penduduk terbabit sejak 2009. 

“Kita juga sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk kumpulan Anti-Cyanide bagi memastikan apa jua kajian yang dilakukan dapat diberikan kepada kita.

“Berdasarkan kajian dijalankan, mereka menyatakan bahawa 78 peratus daripada penduduk di kawasan itu jatuh sakit berikutan operasi lombong emas di Bukit Koman yang terletak di Daerah Raub itu.

“Bagaimanapun, apabila kita minta senarai 383 penduduk yang mereka nyatakan itu, mereka masih tidak dapat memberikan kepada kita hingga sekarang,” katanya ketika sidang di sini, hari ini.

Laporan sebelum ini menyebut, pembangkang bercadang mengadakan Himpunan Hijau pada 2 September ini bagi menghalang Raub Australian Gold Mining (RAGM) terus beroperasi selepas kononnya aktiviti perlombongan itu menyebabkan penduduk terdedah kepada penyakit kulit.

Mengulas lanjut, Liong berkata antara langkah diambil termasuk menubuhkan Pasukan Kajian Kesihatan bagi mengenal pasti punca jangkitan penyakit kulit yang melanda penduduk Bukit Koman secara terperinci. 

“Tidak perlu gunakan isu kesihatan untuk jadikan modal politik semata-mata. Ini kerana masalah penduduk lebih penting untuk diselesaikan ketika ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment