My Add

Wednesday 29 August 2012

KDNK tahunan dijangka berkembang 5.5% mulai 2013

KUALA LUMPUR, RABU, 29 Ogos, 2012: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar tahunan purata sebanyak 5.5 peratus mulai tahun depan sehingga 2016, kata Ketua Ekonomi di Economist Corporate Network, Justin Wood.

Beliau berkata, prestasi Malaysia kukuh pada separuh pertama 2012, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada 5.4 peratus pada suku kedua.

Wood berkata, Economist Corporate Network kini melaksanakan kajian untuk menyemak naik unjuran pertumbuhan KDNK tahun penuh daripada sasaran awal 4.7 peratus.

Beliau berkata, pertumbuhan itu jelas menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia, berserta kebangkitan ekonomi lain di rantau ASEAN, mendapat ketahanan dengan sendiri untuk menampan ketidaktentuan kewangan luar negara.

"Kebingkasan berpunca dari perubahan dalam profil eksport Malaysia dan daripada ekonomi domestik yang kukuh," kata Wood pada taklimat media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengguna Malaysia berbelanja dan yang paling penting sekali, pelaburan domestik dalam aset tetap termasuk harta, infrastruktur dan jentera, kembali meningkat selepas bertahun aktiviti yang suram.

Katanya, pelaburan datang daripada kerajaan dan sektor swasta, termasuk pelabur domestik serta asing. 

"Persepsi Malaysia dalam kalangan pelabur asing Malaysia meningkat baru-baru ini. Ini sebahagiannya mencerminkan perubahan pandangan daya tarikan relatif peluang pelaburan lain di Asia.

"Tetapi, sebahagiannya, ia juga mencerminkan perubahan dalam Malaysia sendiri, terutama pembaharuan yang berterusan di bawah Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi," katanya.

Beliau berkata, Kajian Prospek Perniagaan Asia 2012 oleh Economist Corporate Network, yang membabitkan 500 syarikat multinasional, menunjukkan bahawa 50 peratus daripada responden akan meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia, manakala baki 50 peratus mahu mengekalkan pelaburan semasa mereka.

"Ini satu pandangan yang sangat positif memandangkan banyak syarikat kini takut untuk meningkatkan pelaburan mereka di luar negara tetapi dalam kes Malaysia, 50 peratus daripada responden mahu menambah (pelaburan mereka)," katanya.

Sementara itu, Wood berkata dalam kajian yang sama, Malaysia menduduki tempat keempat selepas Indonesia, Vietnam dan India dalam senarai negara-negara Asia yang menjadi lebih cergas dalam menarik pelaburan pengeluaran dan pembuatan.

Beliau berkata, Economist Corporate Network menjangka nisbah pelaburan langsung asing pelaburan (FDI) Malaysia meningkat dengan kukuh kepada 26 peratus daripada KDNK menjelang 2016.

Pada masa ini, nisbah itu antara 21 dan 22 peratus daripada ekonomi, katanya.

Mengenai mata wang, Wood berkata ringgit dijangka meningkat berbanding dolar AS kepada purata RM3.07 tahun ini dan kepada RM3 tahun depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment