DUNGUN, RABU, 29 Ogos, 2012: Fenomena pusaran angin kencang selama lima minit menyebabkan lima kedai di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Besi di sini rosak teruk dalam satu kejadian petang semalam.
Pusaran angin yang berlaku pada pukul 4.30 petang itu turut menyebabkan beberapa batang pokok besar yang menjadi tempat kegemaran pengguna jalan raya berteduh, tumbang.
Menurut seorang peniaga kedai runcit, Zainun Awang, 50, angin kencang itu menerbangkan khemah serta kerusi dan meja milik beberapa peniaga makanan di R&R berkenaan.
"Kejadian itu amat pantas disusuli hujan lebat dan mak cik ketika itu sempat melaungkan azan selepas takut menghubungi suami di rumah kerana bimbang menggunakan telefon bimbit akan disambar petir," katanya di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun bersyukur kerana ketika kejadian tidak ramai pengunjung berada di R&R terbabit. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment