My Add

Thursday, 30 August 2012

Tiada sebab untuk pertikai tema Janji Ditepati: Najib

ALOR SETAR, KHAMIS, 30 Ogos, 2012:: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan tiada sebab untuk sesiapa mempertikaikan tema sambutan Hari Kebangsaan 'Janji Ditepati' kerana ia merupakan asas yang mulia.

Beliau berkata, 'Janji Ditepati' adalah prinsip dalam agama Islam, sesuatu yang universal dan sebagai orang Islam, perlu untuk mengikat janji. 

"Tiada sebab untuk pertikai tema ini melainkan orang itu tak biasa tunaikan janji. Saya akan pertahan prinsip ini sebagai teras asas yang mulia.

"Janji dengan Allah adalah yang terbesar. Janji sesama manusia, orang akan percayakan kita kalau janji itu ditunaikan," katanya ketika berucap pada Majlis Aidilfitri 1Malaysia Bersama Perdana Menteri di perkarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, soal janji juga bukanlah terhad kepada kerajaan atau wakil rakyat semata-mata, malah rakyat biasa turut perlu berjanji.

Najib berkata, sekiranya mahukan negara aman, stabil dan bertambah makmur, rakyat mesti berjanji untuk menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran.

"Semua pihak ada janji masing-masing, pada Allah, manusia dan kerajaan, maka manusia akan bertambah maju dan berjaya. Sebagai kerajaan kalau berjanji, perlu ditunaikan," katanya. 

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Majlis yang dianjurkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri itu dihadiri lebih 50,000 orang. Setiap UMNO bahagian dan parti komponen BN turut mengambil bahagian dengan menyediakan gerai pelbagai jenis makanan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment