My Add

Tuesday, 30 October 2012

ETP buahkan hasil cemerlang

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR.ISNIN, 29 Oktober, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksana kerajaan sejak beberapa tahun lalu telah membuahkan pelbagai hasil cemerlang.

Perdana Menteri berkata, salah satu hasil yang boleh dibanggakan ialah apabila Malaysia disenaraikan di tempat ke-12 dunia sebagai negara paling berdaya saing.

"Program Transformasi Ekonomi membuahkan hasil cemerlang apabila kita (Malaysia) mencapai tempat ke-12 negara paling berdaya saing di dunia," kata beliau melalui akaun 'twitter'nya hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mengulas tentang kejayaan Malaysia muncul negara ke-12 paling berdaya saing mengatasi negara seperti Sweden, (ke-13), Taiwan (ke-16), Jerman (ke-20), Jepun (ke-24) dan Switzerland (ke-28) dalam laporan Bank Dunia minggu lalu.

Dalam pada itu, Najib melalui mesej 'twitter' semalam mengalu-alukan kedatangan masyarakat antarabangsa ke Malaysia, selari dengan kejayaan negara menduduki tempat ke-10 terbaik dunia sebagai destinasi pilihan golongan ekspatriat.

Menerusi kajian dinamakan 'HSBC's Expat Explorer Survey' seperti dilaporkan laman majalah 'Forbes' Rabu lalu, Malaysia menduduki tempat ke-10, antaranya kerana kualiti kehidupan lebih baik, kehidupan sosial memuaskan, kemudahan perjalanan dalam negara dan perumahan lebih baik berbanding negara asal mereka.

Sementara itu, Perdana Menteri menerusi satu lagi mesej twitter beliau hari ini mengucapkan tahniah kepada pemain skuasy No. 2 negara, Low Wee Wern atas kejayaan muncul juara Terbuka China di Shanghai semalam.

Wee Wern yang mempertahankan kejuaraan tahun lalu mempamerkan semangat juang terpuji apabila bangkit dua kali untuk mengalahkan lawannya, Joelle King dari New Zealand semalam, sekali gus mengecapi kejayaan terbesar kariernya sejak bertukar profesional pada 2006.

"Tahniah @weewernlow kerana memenangi kejuaraan Skuasy Terbuka China buat dua kali berturut-turut. Tidak hairanlah beliau dalam senarai pemain 10 terbaik dunia dan No. 2 Malaysia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment