My Add

Tuesday 30 October 2012

Semua dokumen berkaitan parti adalah rahsia - Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Oktober, 2012: Anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta menganggap semua dokumen berkaitan parti sebagai dokumen rahsia dan harus mengendalikannya dengan sebaik mungkin.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata langkah itu penting untuk memastikan dokumen berkenaan selamat dan tidak berada pada pihak yang tidak sepatutnya, lapor Bernama

Mengulas mengenai isu kebocoran dokumen BN seperti yang didakwa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng baru-baru ini, Tengku Adnan berkata ia hanya melibatkan maklumat kesiapsiagaan parti menjelang pilihan raya umum ke-13 dan pihaknya sedang menyiasat perkara itu.

"Penerima dokumen ini lupa kita ada sistem kod di ibu pejabat. Saya cuba nak dapatkan copy yang ada pada Guan Eng itu supaya kita tahu siapa yang telah berikan padanya. Tindakan selepas itu kita serahkan kepada Pengerusi (BN)," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima buku 100 Wira Negara daripada Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) untuk diedarkan kepada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini, hari ini. - BERNAMA

Utusan pula melaporkan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kebocoran maklumat kesiapsiagaan BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang yang kononnya dimiliki pembangkang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya juga telah menghantar surat kepada semua parti komponen BN supaya berhati-hati dan menganggap dokumen-dokumen yang diedarkan sebagai rahsia.

Meskipun menganggap dakwaan pembangkang itu sebagai gimik politik, tegasnya, sebarang tindakan terhadap mereka yang bertindak membocorkan maklumat tersebut akan diserahkan kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita sedang siasat. Kita hendak dapatkan dokumen yang ada pada Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) supaya tahu siapa yang beri kepada beliau. Ini kerana setiap dokumen yang diedar ada kod tersendiri. (Tetapi) kemungkinan ini pun gimik politik DAP sebab mereka juga rasa tertekan. Kita pun ada dokumen pembangkang, tak bising pun," katanya.

No comments:

Post a Comment