My Add

Monday 29 October 2012

BN juga tahu siapa calon Pakatan: Tengku Adnan 

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN 
KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Oktober, 2012: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendedahkan bahawa parti itu sudah mengetahui calon-calon yang akan dinamakan oleh komponen Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umumke-13 (PRU13).

Malah ujar beliau,"tiap-tiap dokumen mereka pun kita ada.”

“Siapa calon mereka pun kita tahu, tapi kita diam sahaja lah.

“Hari ini baru saya sebut," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menerima penyerahan buku 100 Wira Negara daripada Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak).

Tengku Adnan berkata demikian apabila diajukan soalan berhubung satu dokumen Barisan Nasional (BN) yang didakwa terlepas ke tangan komponen PR Pulau Pinang.

“Kita juga ada dokumen daripada puak pembangkang. Tapi kita tidak buat bising tak macam mereka. Mereka buat bising.

“Kalau ada mereka akan cerita, kita pun tahu apa yang ia (pembangkang) laksanakan tetapi kita diam sahaja,” kata Tengku Adnan.

Menurut Tengku Adnan lagi, dokumen yang didakwa bocor itu hanya mengandungi butiran tentang kesiapsiagaan parti dalam menghadapi pilihan raya umum.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar barisan kepimpinan di semua peringkat agar menyimpan dengan sebaiknya dokumen yang diberikan dan menganggapnya rahsia supaya tidak jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya sudah tulis surat kepada 13 parti komponen Barisan Nasional supaya mereka berhati-hati dan anggap setiap dokumen yang diedarkan sebagai rahsia,” ujar Tengku Adnan lagi.

Menurut beliau, siasatan kini sedang dilakukan untuk mengesan bagaimana kebocoran dokumen itu boleh berlaku dan akan menyerahkan kepada presiden parti untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya nama individu terbabit sudah diperoleh kelak.

“Barangkali ini dia terletak di merata-rata, barangkali beliau tidak berniat, dalam pejabat itu, rambut sama hitam, hati lain-lain,” ujar beliauyang juga Setiausaha Agung BN.

“Barangkali pada dia ini bukan dokumen rahsia sebab kita tidak cop rahsia, tetapi yang pembangkang, dia cop rahsia pun kita ada,” katanya disambut gelak tawa wakil media.

Sementara itu, Sinar Harian memetik Tengku Asnan sebagai berkata, kesemua pimpinan dan ahli Umno di peringkat bahagian menerima baik cadangan supaya calon untuk Pilihan Raya Umum (PRU13) parti itu diumumkan awal.

Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kebanyakan bahagian bersetuju dan tidak ada masalah jika nama-nama calon

"Mereka terima. Ada yang menggalakkan supaya calon dinamakan lebih awal. Jadi bila pilihan raya diumumkan tak ada yang teraba-raba.

"Kebanyakan daripada bahagian bersetuju. Pertimbangan akan dibuat oleh presiden, beliau yang akan membuat ketetapan" katanya pada sidang media selepas menerima penyerahan buku 100 Wira Negara oleh Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak).

Tengku Adnan menerima penyerahan buku tersebut bagi mewakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tengku Adnan sebelum ini menyatakan UMNO-Barisan Nasional akan membuat pembaharuan menghadapi pilihan raya kali ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, UMNO-BN akan mengumumkan calonnya dua minggu awal, berbeza dengan pilihan raya sebelum ini.

Menurut Tengku Adnan, ada lebih banyak kebaikan untuk menamakan calon lebih awal berbanding keburukannya.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, "saya hanya menyuarakan citarasa daripada bawah tapi akhirnya ia akan berada di tangan presiden untuk menetapkan apa yang terbaik untuk parti."

DAP sebelum ini menyatakan pendirian bahawa parti itu tidak akan mengumumkan calonnya awal kerana tidak mahu "orang buat kacau".

Pas pula hanya akan berbuat demikian jika perlu sementara PKR pula sudah pun mengumumkan calonnya di kawasan-kawasan tertentu oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

No comments:

Post a Comment