My Add

Tuesday, 30 October 2012

Hakim Malaysia kendali kes secara 'buta warna'

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Oktober, 2012: Sidang Dewan Rakyat diberitahu, pengendalian kes-kes perbicaraan oleh para hakim di Malaysia dilakukan secara colour blind (buta warna) iaitu mereka tidak mengira sesiapapun yang dibicarakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tanpa mengambil kira siapakah yang menghadapi perbicaraan, hakim akan membuat pertimbangan berdasarkan kepada pembentangan fakta di hadapan mereka.

"Tidak kira orang itu orang besar ke, orang kecil ke, orang hitam ke atau orang putih ke, tidak akan dipedulikan oleh hakim-hakim. Apa yang penting apakah fakta yang dibentangkan di hadapan mereka.

"Hakim-hakim di Malaysia membicarakan kes secara colour blind. Mereka bertugas tanpa mengira sesiapapun," katanya ketika menjawab soalan tambahan Hamim Samuri (BN-Ledang) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Mohamed Nazri berkata, tahap serta mutu bidang kehakiman di negara ini bertambah baik dari semasa ke semasa.

"Pada tahun 2011 Malaysia berada pada kedudukan 12 daripada segi mudah urus dan sebahagian besar pencapaian itu adalah sumbangan daripada pihak mahkamah,"katanya lagi.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal John Fernandez (DAP-Seremban) beliau berkata, bilangan Hakim Mahkamah Persekutuan pada masa ini adalah seramai sembilan orang dan dua daripadanya terdiri daripada wanita.

Bagi soalan asal kedua beliau berkata, jumlah Hakim Mahkamah Persekutuan yang berasal dari Sabah dan Sarawak adalah seorang manakala jumlah hakim bukan berbangsa Melayu di peringkat mahkamah yang sama juga seorang.

Menjawab soalan tambahan John Fernandez ujar Mohamed Nazri, kekurangan jumlah hakim daripada kaum India adalah disebabkan mereka lebih berminat menjadi pengamal undang-undang atas faktor pendapatan yang lebih lumayan.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan kaum bukan Melayu menyertai bidang kehakiman.

"Sekarang lagi mudah permohonan boleh dibuat melalui dalam talian,"kata Mohamed Nazri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment