My Add

Tuesday 30 October 2012

Hukuman mati pesalah dadah pendekatan terbaik

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Oktober, 2012: Hukuman mati mandatori pesalah dadah merupakan pendekatan terbaik dalam mengurangkan kos saraan kerajaan terhadap golongan itu berbanding penjara seumur hidup.

Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), S. R. Jeevan berkata, tempoh hukuman penjara yang bersifat jangka panjang dikhuatiri akan memberi kesan kepada perbelanjaan kerajaan apabila terpaksa menyara pesalah selama lebih 30 tahun.

"Sebaliknya, bagi hukuman mati pula tidak melibatkan kos seperti itu. Sehubungan itu, Pencegah membantah sekeras-kerasnya cadangan pemansuhan pelaksanaan hukuman tersebut.

"Hal ini demikian kerana adalah lebih baik sekiranya kos saraan seumur hidup terhadap pesalah dadah itu dialihkan untuk tujuan menjaga kebajikan rakyat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas rancangan kerajaan untuk menimbangkan cadangan menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadap pesalah dadah,

Jeevan berkata, pemansuhan hukuman gantung mandatori terhadap pesalah dadah hanya akan menjejaskan imej tegas Malaysia di mata dunia terhadap jenayah tersebut.

Malah katanya, tiada kepastian kesalahan berkaitan dadah akan berkurangan sekiranya hukuman mati mandatori dimansuhkan.

"Di negara yang bertamadun, hukuman mati adalah pendekatan terbaik untuk mengurangkan kegiatan jenayah.

"Oleh sebab itu, saya melihat hukuman gantung terhadap pesalah dadah masih relevan sebagai halangan serta pengajaran kepada pengedar-pengedar dadah, sekali gus menjadikan Malaysia antara negara yang digeruni," katanya.

Dalam perkembangan sama, Jeevan berkata, pihaknya turut menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri sebagai menolak cadangan pemansuhan pelaksanaan hukuman mati terhadap pesalah dadah itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment