My Add

Sunday 2 December 2012

4 penekanan utama hasil pembentangan usul

 Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR, SABTU, 01 Disember, 2012: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein merumuskan empat penekanan utama yang dicapai berdasarkan usul-usul yang dibentangkan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurut beliau, penekanan pertama berkisar tentang prinsip dan matlamat perjuangan yang menuntut UMNO bersikap lebih inklusif kepada seluruh rakyat khususnya generasi muda agar sesuai dengan landskap politik negara dewasa ini.

‘‘Kita perlu berbicara dalam bahasa yang difahami mereka, supaya sampai terus kepada rakyat dan perkara ini kita sedang lakukan," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada perhimpunan agung itu.

Menyentuh penekanan kedua iaitu pemimpin dan kepimpinan, jelasnya, peralihan kuasa di dalam UMNO berlangsung dengan tertib dan sempurna sejak parti ditubuhkan 66 tahun lalu dengan setiap pemimpin UMNO meninggalkan legasi tersendiri.

Beliau menambah, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mempamerkan gaya kepemimpinan dan pendekatan yang unik malah dasar keterangkuman yang dilaksanakannya memastikan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir dan tersisih daripada perhatian kerajaan.

‘‘Seperti yang dituntut dalam penekanan ketiga iaitu prestasi dan pencapaian, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa komited kepada agenda membela rakyat dan membangunkan negara namun kita masih belum berpuas hati kerana mengakui kerajaan BN tidak sempurna.

‘‘Hakikatnya, tiada kerajaan yang sempurna di dunia ini tetapi BN bermuhasabah dan mengakui kelemahan diri. Kita tidak menuding jari dan tidak angkuh seperti pihak lain," ujarnya.

Hishammuddin berkata, penekanan keempat ialah berhubung kepincangan dan ancaman bahaya yang ditimbulkan oleh parti-parti pembangkang hasil pakatan mereka yang songsang, ideologi cacamarba dan pemimpin-pemimpin mereka yang bersikap seperti sesumpah politik serta sanggup mengkhianati agama dan bangsa sendiri semata-mata kerana tamakkan kuasa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment