My Add

Monday 3 December 2012

Beri mandat kepada BN demi masa depan negara: Najib

KUALA LUMPUR, AHAD, 02 Disember, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini meminta rakyat memberikan mandat pemerintahan lima tahun lagi kepada Barisan Nasional demi masa depan negara.

Beliau berkata, ini adalah kerana kerajaan BN sudah mempunyai pelbagai pengalaman dalam mentadbir negara sejak 55 tahun lepas berbanding pakatan pembangkang yang dilihat semakin tidak mempunyai asas persefahaman untuk menguruskan hala tuju negara dengan baik.

Katanya, kerajaan BN ikhlas untuk membantu semua rakyat dan percaya dalam tempoh hampir empat tahun ini, kejayaan terbukti apabila Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi 5.2 peratus, peningkatan dalam pelaburan di dalam negara dan luar negara serta peluang pekerjaan melebihi 300,000.

"Masa depan tidak boleh diperjudikan. Satu undi untuk pembangkang adalah satu undi untuk masa depan yang tidak menentu.

"Tetapi, satu undi buat BN adalah untuk masa depan yang lebih baik, selamat dan makmur," katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat agung ke-59 Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PPP Datuk M.Kayveas, Naib Presiden Kanan PPP merangkap Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Najib juga menjanjikan sebagai seorang Perdana Menteri, beliau akan melakukan yang terbaik untuk semua rakyat dan negara, dengan lebih adil dan saksama dalam memastikan rakyat mendapat layanan dan faedah daripada dasar-dasar dan pentadbiran BN.
"Sebagai seorang pemimpin dan pengerusi BN, kita mesti merasai denyut nadi rakyat dan faham bahawa rakyat hari ini sudah berubah kerana kejayaan BN menyediakan akses kepada pendidikan dan zaman teknologi ICT," jelas beliau.
 Najib mahu semua parti komponen Barisan Nasional (BN) sifar daripada masalah untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Katanya, sebarang masalah dalaman sesama parti komponen perlu diselesaikan.

"Begitu juga masalah dalaman parti masing-masing, ia perlu sifar," katanya   
Perdana Menteri yakin kepimpinan memahami dan menghayati serta tahu aspirasi rakyat adalah tidak lain hanya mahu berada di bawah kerajaan BN.

Dalam pada itu, Najib mengingkatkan 13 parti komponen BN untuk bergerak sebagai satu formasi yang teratur dan tersusun ke arah satu objektif iaitu kesepaduan dan kefahaman yang amat jitu agar BN sentiasa menjadi satu parti yang kuat dan tidak mungkin ditandingi oleh parti pembangkang.

"Oleh itu, soal dalaman parti kita, kita perlu memastikan sifar masalah dan kita juga perlu memastikan sifar masalah antara parti komponen BN. Dengan itu, tanpa apa-apa masalah besar, (Insya-Allah), BN pasti akan menang besar dalam pilihan raya umum," katanya.

Tambah Najib, BN sudah mengambil iltizam untuk mesti bangkit semula daripada 'mimpi ngeri' pada pilihan raya umum ke-12, dan sedar akan mesej yang dihantar oleh rakyat kepada BN untuk melakukan perubahan bagi menjamin masa depan mereka.

Perdana Menteri turut mengingkatkan jentera PPP agar sentiasa bersedia, cergas dan bertenaga untuk menentukan perjuangan BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Seramai 4,047 perwakilan menghadiri Perhimpunan Agung PPP, yang bertemakan 'BN Tidak Akan Menghampakan Rakyat'.


Undi BN untuk kekalkan kecemerlangan pembangunan negara

KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini digesa mengundi calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) sebagai tanda pengiktirafan mereka kepada pemerintahan cemerlang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membangunkan negara, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, dalam tempoh empat tahun Najib menjadi Perdana Menteri, beliau melakukan beberapa transformasi dalam bidang ekonomi, penyampaian perkhidmatan kerajaan, politik dan pendidikan negara.

"Dalam tempoh yang dianggap singkat ini, beliau sudah berjaya mencapai sasaran lebih awal daripada tarikh sebenar yang ditetapkan sebelumnya.

"Sehubungan itu, rakyat Malaysia perlu bersatu menyokong kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN dalam PRU ke-13 nanti," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini hari ini sebagai mengulas ucapan penangguhan Najib sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 semalam.

Beliau berkata, ucapan Presiden UMNO itu cukup memberangsangkan dan berjaya memotivasi semua jentera parti untuk bergerak pantas menyahut gendang yang dipalu presiden.

Katanya, satu ba’iah dilakukan di akhir ucapan presiden yang menuntut komitmen semua anggota UMNO supaya bersatu dan menentukan kemenangan besar dalam pilihan raya umum nanti.

"Pembangkang tidak sekuat mana, namun masalah sesama sendiri hendaklah diselesaikan bagi memastikan akar umbi UMNO turut terdorong untuk bekerja dengan penuh bersemangat bagi menangkis semua tohmahan pembangkang," katanya.
Ahmad Zahid berkata, sumbangan Najib yang mendapat sanjungan pemimpin dan penduduk negara lain di dunia adalah pengiktirafan kepada UMNO.

Justeru, katanya, rakyat negara ini mesti menyanjung tinggi dan mengiktiraf kepimpinan Najib dengan memberi mandat semula kepada BN menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya umum.

"Sepanjang ucapan Presiden, semua perwakilan tersuntik semangat sebagai manifestasi UMNO pulih sepenuhnya, semangat ini perlu dikekalkan jika mahu melihat Umno terus relevan untuk semua kumpulan sasaran demi kesejahteraan rakyat dan masyarakat dunia sejagat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment