My Add

Tuesday, 25 December 2012

Hanya empat stadium dibenar anjur permainan waktu malam

KUALA LUMPUR, SELASA, 25 Disember, 2012: Hanya empat stadium setakat ini mendapat kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menganjurkan permainan pada waktu malam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd

Amin, berkata empat stadium itu ialah Stadium Shah Alam di Selangor; Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang; Stadium Jalan Besar di Singapura dan Stadium Negeri Sarawak di Kuching.

Hamidin yang juga Naib Presiden FAM berkata, pihaknya akan mengadakan
mesyuarat bersama anggota majlis JKPT bagi membincangkan perkara berkaitan
stadium dengan lebih lanjut hujung minggu ini.

"Saya difahamkan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban dan
Stadium Perak di Ipoh sedang menjalankan kerja penambahbaikan fasiliti...(kemungkinan besar) mereka akan bermain pada waktu petang.

"(Bagaimanapun) kita akan menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa
di mana-mana stadium (yang terbabit dengan saingan Liga Malaysia 2013) bagi
memastikan pasukan yang berhasrat untuk beraksi pada waktu malam mematuhi
peraturan yang kita tetapkan," kata Hamidin ketika dihubungi, hari ini.

Hamidin turut memberi jaminan persiapan pasukan kelab dan negeri yang
bersaing dalam Liga Malaysia 2013 tidak akan terjejas walaupun skuad kebangsaan
yang dibimbing oleh Datuk K Rajagobal dijadualkan terlibat dengan pusingan
kelayakan Piala Asia 2015 pada Februari depan.

"Kalendar Liga Malaysia 2013 sudah (hampir) siap dan kita yakin persiapan
pasukan kelab dan negeri tidak akan terganggu," katanya.

Liga Malaysia 2013 akan membuka tirai secara rasmi pada 5 Januari depan menerusi
perlawanan Piala Sumbangsih antara juara Piala Malaysia, Kelantan menentang
juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia di venue yang masih belum
ditetapkan FAM.

Aksi Liga Perdana dan Liga Super 2013 masing-masing akan bermula pada 7 dan
8 Januari.

Piala FA 2013 membabitkan 30 pasukan dari Liga Super, Liga Perdana dan
Liga FAM akan bermula 25 Januari depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment