My Add

Wednesday, 26 December 2012

Lapan maut kebakaran di Manila

MANILA, SELASA, 25 Disember, 2012: Sekurang-kurangnya lapan orang terkorban dan beribu-ribu yang lain hilang tempat tinggal dalam dua kebakaran berasingan di tengah bandar raya ini, hari ini.

Menurut pegawai bomba, Santiago Laguna, dalam kejadian pertama di Quezon City membabitkan dua buah pangsapuri, tujuh mayat termasuk seorang doktor haiwan ditemui rentung selepas mangsa terperangkap dalam rumah masing-masing.

Jelas beliau, punca kebakaran tersebut sedang disiasat, namun kejadian mungkin berpunca akibat litar pintas berikutan penggunaan tenaga elektrik berlebihan sepanjang musim perayaan Krismas.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di daerah San Juan, sebuah kawasan setinggan musnah dijilat api menyebabkan kira-kira 2,000 keluarga hilang tempat tinggal.

Menurut Laguna, kejadian tersebut mencetuskan rusuhan apabila penduduk setinggan bertindak memukul seorang lelaki sehingga mati kerana mangsa dipercayai bertanggungjawab memulakan kebakaran berkenaan.

Dua lelaki turut ditahan berikutan insiden tersebut.

Katanya lagi, penduduk turut menyalahkan anggota bomba yang lewat tiba di tempat kejadian, menyebabkan mereka mengambil paip dan melakukan sendiri kerja-kerja memadamkan api.

"Penduduk setinggan merampas hos yang digunakan anggota bomba untuk memadam kebakaran. Bomba tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbangkan keselamatan mereka," kata Laguna.

Jelas beliau, pihaknya lewat kerana mengalami kesukaran memasuki lokasi kebakaran yang sempit kerana dihalang oleh kereta dan pedati.

"Keadaan itu juga menyebabkan pasukan kami terpaksa mengheret paip air ke lorong tersebut,'' katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment