My Add

Wednesday, 26 December 2012

Kerajaan tidak pinggir rakyat

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
 
 *NAJIB Tun Razak bersama Rosmah Mansor bersalaman dengan Exco Christian Federation of Malaysia, Bishop Ng Moon Hing (empat kanan) semasa hadir majlis minum petang sempena sambutan Hari Krismas di Luther Centre, Petaling Jaya, semalam. Turut kelihatan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon. - UTUSAN/Hafiz Johari

PETALING JAYA, SELASA, 25 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan sesekali meminggirkan mana-mana pihak termasuk komuniti Kristian yang turut berperanan membangunkan negara.

Tegas Perdana Menteri, beliau sendiri memberi jaminan tidak akan mengamalkan sikap pilih kasih dalam menjalankan tugas selaku pemimpin negara.

"Saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri kepada komuniti tertentu sebaliknya kepada semua rakyat Malaysia dan saya telah menyatakan perkara ini berulang kali.

"Ini adalah komitmen saya terhadap anda (komuniti Kristian) dan janganlah sesekali beranggapan anda dilupakan," katanya.

Beliau berucap dalam majlis minum petang sempena sambutan Hari Krismas di Luther Centre, di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, barisan ahli Kabinet serta pemimpin pembangkang.

Najib berkata, beberapa siri pertemuan beliau dengan pemimpin gereja sebelum ini membuktikan komuniti Kristian tidak dilupakan kerajaan seperti didakwa sesetengah pihak.

"Malah, setiap komuniti sama ada komuniti etnik atau agama adalah penting dalam kerajaan dan saya sendiri kerana kita tidak boleh meminggirkan sesiapa," ujarnya.

Beliau memberitahu, untuk negara terus berkembang maju dan memiliki perpaduan yang tahan lama rakyat perlu bersedia menerima konsep kepelbagaian di negara ini.

"Namun, rakyat juga perlu saling memahami dan menyemai konsep muhibah. Kita hanya mampu merealisasikan aspirasi ini dengan memupuk persefahaman dan rasa hormat," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyeru pemimpin-pemimpin Kristian memainkan peranan aktif dalam meningkatkan hubungan antara agama dan kaum di negara ini.

Jelas beliau, peranan itu penting seiring dengan hasrat kerajaan menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.

"Kita juga mesti mendidik sikap kesederhanaan. Sebagai contoh, Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) adalah seruan untuk semua bersikap sederhana dan perkara itu adalah kewajipan sivik selain menjauhkan ekstremisme.

"Oleh itu, saya menggesa semua pihak berdiri dan mengembara bersama saya untuk mengubah dan membina Malaysia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment