My Add

Sunday 2 December 2012

Perhimpunan Agung UMNO capai objektif

KUALA LUMPUR, : Sebanyak 2,759 anggota perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2012 yang berakhir hari ini mempunyai 16 minggu, paling lama, untuk menterjemah apa jua hasil dan kejayaan perhimpunan itu bagi meraih mandat lebih kuat daripada pengundi dalam pilihan raya umum ke-13.

Terbukti pada perhimpunan agung itu yang terakhir menjelang PRU-13, parti itu telah bangkit semula dengan semangat perpaduan dan perjuangan lebih kental serta hala tuju lebih mantap dalam persediaan untuk diadili rakyat apabila Dewan Rakyat dibubarkan, paling lewat 28 April ini.

Ini ternyata sekali dari segi semangat perpaduan dan perjuangan serta persefahaman dalam gerak langkah dan hala tuju parti itu berdasarkan ucapan, usul dan perbahasan selama tiga hari perhimpunan berlangsung.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak ketika menggulung perbahasan pada akhir sesi menyifatkan perhimpunan kali ini berjalan sempurna dan mencapai matlamat.

"Mood dan pengisiannya cukup baik dan tiada reaksi negatif daripada pemerhati," katanya.

Dalam perkataan beliau sendiri dalam ucapan perasmian, PAU kali ini harus dijadikan wadah untuk bermuhasabah dan islah memperbetulkan kelemahan; memperkejapkan jentera parti dan membugarkan hala tuju pertubuhan serta memastikan kelangsungan jemaah.

'Masa Kecederaan' 16 minggu itu harus dimanfaatkan oleh jentera pilihan raya parti untuk meraih sokongan pengundi, terutama bukan Melayu yang dikatakan mula menunjukkan minat semula kepada UMNO.

Ini adalah hasil dasar dan pendekatan inklusif di bawah transformasi politik yang diperkenal Najib sebaik sahaja beliau mengambil alih teraju Umno lebih tiga tahun lalu.

Anggota perwakilan kini nampaknya, berdasarkan kepada hujah perbahasan,lebih peka kepada realiti politik baharu berikutan perubahan demografik dan pemikiran masyarakat.

Presiden dalam ucapan perasmian menarik perhatian perwakilan bahawa demografik negara telah berubah secara radikal di mana daripada 29 juta penduduk70 peratus tinggal di bandar; 40 peratus berumur dalam lingkungan 17 hingga 23 tahun; 80 peratus rakyat berumur kurang 45 tahun manakala lebih separuh daripada rakyat berusia bawah 25 tahun.

"Apa program yang sewajarnya diketengahkan, bagaimana bertindak terhadap pengundi yang kini berjumlah 13 juta lebih. Apa harus kita buat kepada pertambahan pengundi seramai 2.9 juta orang... harus difikirkan," kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Penganalisis-penganalisis politik berkata UMNO dan BN telah bekerja kuat sejak lebih tiga tahun dan selepas PAU ini bakal muncul lebih kuat menerusi kerja keras dalam waktu terhad ini dengan memberi tumpuan kepada aktiviti menemui pengundi secara bersemuka.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata generasi muda kini sudah menunjukkan kecenderungan menyokong Umno dan BN tetapi mereka tidak harus berhenti berusaha daripada menarik sokongan golongan itu.

Katanya golongan itu harus diberi ruang dan peluang lebih luas untuk melibatkan diri dalam politik.

Ahli MT, Datuk Zainal Abidin Osman berkata setelah mendapat suntikan semangat baru, Umno negeri akan melipatgandakan aktiviti mendekatkan parti kepada rakyat.

"Sememangnya kita tidak mempunyai masa yang banyak, semua anggota parti kini harus fokus menyampaikan mesej Perdana Menteri bahawa pembangkang hanya akan membawa musibah kepada negara," katanya. - BERRNAMA

No comments:

Post a Comment