My Add

Monday 3 December 2012

SPR jelaskan kategori media layak mengundi pos

PUTRAJAYA, ISNIN, 03 Disember, 2012: Semua petugas media yang diperakukan oleh majikan sebagai petugas yang dikehendaki bertugas di luar kawasan pendaftarannya pada hari mengundi untuk membuat liputan pilihan raya dan perkara-perkara berkaitan dengannya, layak untuk mendapat kemudahan mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata kemudahan mengundi secara pos adalah berdasarkan permohonan yang diterima daripada mereka kepada pegawai pengurusan bahagian pilihan raya di mana mereka didaftarkan.

Wartawan dan jurufoto ialah antara 112 kategori petugas yang disenaraikan layak mendapat kemudahan itu. Kategori lain antaranya pereka grafik, jurutera siaran luar, pengurus teknikal, juruteknik, juruelektrik, penerbit, pembantu skrip, pemandu dan pekerja am.

Kamaruddin berkata demikian pada sesi penerangan kepada media berhubung kemudahan itu di ibu pejabat SPR di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata tidak semua petugas media diberikan kemudahan tersebut, misalnya wartawan yang membuat liputan lain selain berkaitan pilihan raya di luar kawasan pendaftarannya tidak layak mendapat kemudahan itu.

"Hanya media yang memenuhi syarat-syarat tertentu layak diberikan kemudahan mengundi secara pos," katanya yang menambah, mereka juga mestilah berkhidmat dengan agensi-agensi yang berdaftar dalam Direktori Media Awam 2012 yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment