My Add

Sunday 2 December 2012

Tumpuan dalam mood perang

KUALA LUMPUR, sabtu, 01 Disember, 2012: Seluruh perwakilan dan ahli UMNO di segenap lapisan diminta memusatkan segala tumpuan dalam ‘mood perang’ kerana Pilihan Raya Umum Ke-13 bukan sekadar penentu kepada survival parti itu tetapi ia bakal mencorak bagaimana rentak perjalanan UMNO untuk 50 tahun akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, seluruh jentera parti tidak boleh lagi berada dalam ‘mode senyap’ kerana semboyan perang sudah dilaungkan berulang kali oleh pucuk pimpinan demi memastikan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar dengan majoriti dua pertiga.

Menurut Ahmad Zahid, dalam usaha mempersiapkan diri menghadapi ‘perang’ pada pilihan raya umum nanti, jentera parti tidak boleh sesekali mengabaikan kepentingan tentera maya yang ditunjangi para penulis blog, selain menggunakan medium sedia ada untuk mendekati dan memenangi hati rakyat.

Katanya, walaupun berdasarkan kaji selidik terbaru yang dibuat Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) menunjukkan sokongan terhadap kerajaan pusat yang dipimpin BN memperlihatkan 74.2 peratus rakyat sangat serta berpuas hati tetapi jentera parti perlu bekerja keras.

“Kajian itu membuktikan kita masih relevan dan mendapat sokongan tapi jentera tetap perlu memusatkan segala fokus untuk menghadapi perang ini," katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menambah kajian terhadap sokongan ke atas konsep 1Malaysia yang dilakukan universiti sama juga memperlihatkan sebanyak 74.4 peratus rakyat sangat setuju dan setuju dengan gagasan yang diperkenalkan Perdana Menteri sebaik sahaja menerajui kepimpinan negara.

Jelasnya, penerimaan positif rakyat ke atas kepimpinan BN itu selari dengan pelbagai transformasi dan sumbangan besar kerajaan bukan sahaja dalam bentuk politik, tetapi merangkumi aspek fardu kifayah sama ada di peringkat domestik mahu pun antarabangsa.

“Lihat semalam, bila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota. Itu adalah sebahagian usaha Perdana Menteri kerana beliau telah menghantar Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman supaya melobi dan membantu Palestin diiktiraf di pentas dunia.

“Kita juga mengiktiraf Hamas apabila menjemput mereka sebagai pemerhati pada perhimpunan kali ini selain pengiktirafan Hamas kepada UMNO selaku pemerintah mutlak bersama BN di samping sumbangan besar dalam membantu menjayakan perjanjian damai Bangsamoro dengan kerajaan Filipina," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment